KUALA LUMPUR: Kejayaan Jepun menjulang trofi Kejohanan Bolasepak Universiti Asia (AUFT) 2024 buat kali keenam berturut-turut diserikan lagi selepas mereka menggondol lima lagi anugerah pada edisi yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Penjaring gol kemenangan pada aksi final berdepan Korea Selatan, Hiroki Maezawa membawa pulang dua anugerah apabila bukan sahaja muncul sebagai penjaring terbanyak AUFT 2024 malah turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.
Penjaga gol Jepun, Sosuke Tamura yang beraksi cemerlang pada final dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik dan menjadi antara watak penting yang menyaksikan Jepun menamatkan saingan tanpa dibolosi sebarang gol dalam empat perlawanan.
Hibiki Matsuoka melakar Bantuan Gol Terbanyak sementara jurulatih mereka, Fukushi Norifumi dinobatkan sebagai Jurulatih Paling Bernilai namun anugerah Jurulatih Terbaik menjadi milik jurulatih Korea Selatan Lee Seong Hwan.
Sementara itu, lapan pemain dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam setiap pasukan yang diwakili dengan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan dipilih sebagai MVP untuk skuad Universiti Malaysia (UM).
Hatano Ryota dipilih sebagai MVP buat Jepun sementara MVP buat Korea Selatan yang muncul naib juara buat kali kelima berturut-turut adalah Kim Youngjae.
MVP Oman yang meraih tempat ketiga menjadi milik Abdullah Almarikhi sementara Tsai Cheng Hu menjadi MVP buat Taiwan yang menamatkan kempen AUFT kali ini di tempat keempat.
MVP Vietnam menjadi milik Nguyen Doc Cong sementara Rungroy Mudlah dan Geri Martini Rey masing-masing memenangi MVP untuk Thailand dan Filipina.
sumber:-BH
Selepas ini, sebuah lagi negara ASEAN, Vietnam akan menjadi tuan rumah AUFT bagi edisi 2025 selepas Malaysia menjadi tuan rumah pertama dari ASEAN.