KERAJAAN Kedah mempunyai kekangan untuk menyuntik dana sepenuhnya bagi membantu kemelut kewangan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas pasukan bola sepak itu diswastakan tahun lepas.
Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhamad Radhi Mat Din berkata, sehubungan itu kerajaan negeri mempelawa mana-mana pihak untuk tampil membantu menaja pasukan tersebut yang dihimpit masalah kewangan.
Menurutnya, walaupun pasukan tersebut membawa nama Kedah, namun campur tangan kerajaan negeri agak terhad.
“Sebelum diswastakan, isu ini adalah bidang kuasa kita selaku kerajaan negeri, namun kita juga berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Kita tawarkan kepada mana-mana pihak yang ada hasrat untuk melihat pasukan bola sepak Kedah bangun semula, tampillah bantu KDA FC. Jika ada yang ‘ada hati’ lihat Kedah bangun, bangunkanlah,” katanya ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhamad Radhi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan Loh Wei Chai (PH-Bakar Arang) tentang usaha kerajaan negeri membantu pasukan bola sepak Kedah yang berhadapan dengan masalah dana sehingga menyebabkan gaji pemain tertunggak.
Muhamad Radhi memaklumkan, kemungkinan sudah ada petanda positif apabila pasukan tersebut sudah kembali menjalani latihan sejak Selasa.
sumber:-SH
“Isu ini terlalu sensitif tetapi pasukan sedang bergerak, pasukan KDA FC mula berlatih dan kita doakan isu ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.