KUALA LUMPUR: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menjadi medan ‘perang’ terakhir Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Ia susulan Jawatankuasa Rayuan FIFA, menolak rayuan daripada FAM sekali gus menyaksikan hukuman terhadap FAM (denda kira-kira RM1.8 juta) dan tujuh pemain (digantung 12 bulan dan denda sekitar RM10,800) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu kekal.
Seandainya nasib juga tidak menyebelahi FAM dan tujuh pemain itu di CAS, implikasi besar dilihat bakal dihadapi terutama membabitkan pasukan kebangsaan yang dijangka menerima hukuman susulan.
Melihat kepada rekod sebelum ini, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pernah menggantung Timor Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo didapati memalsukan dokumen bagi kewarganegaraan pemain Timor Leste.
Dua belas pemain berkenaan didakwa beraksi sebanyak 29 perlawanan anjuran AFC dan tujuh perlawanan yang diiktiraf FIFA dengan semua aksi terbabit dibatalkan.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah tidak menolak kemungkinan bahawa Harimau Malaya akan menerima nasib sama seperti menimpa Timor Leste pada 2017.
“AFC sebagai penganjur pertandingan akan mengambil tindakan berdasarkan peraturan mereka selepas kes itu selesai. Tindakannya mungkin potong mata atau sebagainya, namun kita belum tahu apa hukuman sebenar.
“Mereka sudah ada kes terdahulu dan kes pun lebih kurang sama, jadi kemungkinan besar mereka akan ikut apa yang dilakukan ke atas Timor Leste. Apa yang dibuat (hukuman) dahulu mereka kena lakukan perkara sama atau mungkin juga lebih tinggi.
“Jika terjadi seperti itu, peluang untuk ke Piala Asia 2027 tiada. Implikasinya memang besar kerana apabila perlawanan dibatalkan dan mata ditolak, ia juga akan menjejaskan ranking Harimau Malaya,” kata Effendi kepada BH Sukan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John sebelum ini memaklumkan pihaknya perlu menunggu keputusan akhir daripada FIFA berhubung kes termasuk selepas perbicaraan di CAS sebelum melakukan tindakan lanjut.
Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Christopher Raj turut senada dengan Effendi yang mana kes Timor Leste akan menjadi rujukan buat AFC dan perkara berkaitan menggunakan pemain tidak layak juga memang ada dalam peraturan badan bola sepak Asia itu.
“Piala Asia dikelola oleh AFC, maka tanggungjawab mereka untuk mengambil tindakan mengikut fail kes yang diberikan oleh FIFA. Namun, kalau ikut undang-undang yang sedia ada dan contoh yang berlaku dengan Timor-Leste, Malaysia tidak akan bermain dalam piala Asia 2027 (jika gagal di CAS).
“Namun, adakah Malaysia tidak akan bermain pada Piala Asia 2031? Itu keputusan yang lain. Kalau berkenaan kes menggunakan pemain yang tidak layak, memang kena tolak mata dan pasukan lawan diberikan tiga mata. Ia sudah termaktub dalam peraturan AFC dan bukan perkara baru.
“Kalau kita cerita mengenai tindakan susulan, tindakan-tindakan yang akan ambil seterusnya, itu kena tunggu sampai Jawatankuasa Disiplin AFC bersidang,” kata Christopher.
Selepas rayuan ditolak FIFA, FAM ketika ini sedang berkira-kira untuk membawa kes membabitkan tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano ke CAS.