Joe Hart akui sangat kecewa dengan taktikal Tuchel

Bekas penjaga gol England, Joe Hart, meluahkan rasa kecewa dan menyelar tindakan pengurus kebangsaan, Thomas Tuchel, yang didakwanya hilang keyakinan terhadap keupayaan skuad The Three Lions hingga berputih mata tewas 1-2 kepada Argentina pada aksi separuh akhir Piala Dunia, hari ini.

Kekecewaan Hart disuarakan selepas melihat keputusan Tuchel membawa masuk barisan pertahanan sebaik sahaja England mendahului menerusi jaringan Anthony Gordon.

Taktikal bersifat defensif itu memakan diri apabila kapten Argentina, Lionel Messi, memanfaatkan ruang untuk mencipta dua bantuan gol membolehkan Enzo Fernandez menyamakan kedudukan sebelum Lautaro Martinez meledak gol kemenangan tragis pada minit akhir perlawanan.

Bercakap menerusi saluran BBC, Hart menyifatkan strategi Tuchel tidak ubah seperti era pengurus terdahulu, Gareth Southgate, yang sering dikritik kerana terlalu berwaspada apabila berada di hadapan.

“Gareth Southgate yang sedang menonton di rumah pasti tersenyum. Beliau pernah menerima kritikan hebat setiap kali England berada di depan dan mula mengunci perlawanan. Namun hari ini, saya tidak nampak apa-apa yang berubah dalam detik penting seperti ini.

“Bagi Thomas Tuchel, di sebalik segala pujian yang kita berikan sebelum ini, tindakan beliau membuat pertukaran seawal itu menunjukkan satu perkara – beliau sendiri tidak percaya kepada pasukannya. Beliau tidak yakin pemain England mampu beri ‘pukulan’ seterusnya kepada Argentina,” tegas Hart.

Tindakan Tuchel menukarkan Gordon dengan Ezri Konsa, selain membawa masuk Dan Burn serta Nico O’Reilly, turut mencetuskan amukan peminat di media sosial yang menganggap jurulatih berusia 52 tahun itu ‘menjemput’ Argentina untuk terus melancarkan serangan bertubi-tubi.

Meskipun lantang mengkritik taktikal pengurus, Hart tetap bersimpati dan mengagumi komitmen serta usaha keras yang ditunjukkan oleh barisan pemain di atas padang.

Kekalahan itu memaksa England berpuas hati untuk beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada Sabtu ini, manakala Argentina melangkah gah ke pentas perlawanan akhir.