sukan

Joehari bakal ganti Hamidin sebagai Presiden FAM?

Kuala Lumpur: Benarkah Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub bakal bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)?

Itu khabar angin yang bertiup kencang ketika ini apabila nama Joehari dikaitkan untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang dijangka tidak akan mempertahankan jawatannya pada Kongres FAM awal tahun depan.

Menurut sumber, nama Joehari dicadangkan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan FA, termasuk wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA) pada Ahad lalu.

“Dalam pertemuan itu, 15 wakil daripada ahli gabungan ada hadir dalam satu pertemuan tertutup dan perkara dibincangkan pasal agenda bola sepak negara.

“Paling penting bincang pasal calon Presiden FAM. Ada mencadangkan nama Datuk Joehari, dan masing-masing dalam pertemuan itu dimaklumkan mengenai hal itu.

“Tapi dengarnya ada yang (FA) tidak memberi kata putus sama ada setuju atau tidak,” kata sumber.

Barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM untuk penggal 2021-2025 bakal berakhir selewat-lewatnya awal tahun depan dengan satu pemilihan perlu diadakan untuk mencari barisan Exco baru.

Untuk rekod, Joehari adalah Naib Presiden FAM bagi penggal ini dengan beliau diberi tanggungjawab selaku Pengerusi Jawatankuasa Status FAM.

Terdahulu, nama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dikaitkan untuk menggantikan Hamidin namun Khairy menolak dengan mahu memberi tumpuan kepada perkara lain.

Pada pemilihan lalu, Hamidin berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden FAM untuk penggal 2021-2025, selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57.

sumber:-HM

Ia menjadi penggal kedua buat Hamidin selepas mula dilantik menduduki kerusi nombor satu badan induk itu pada Julai 2018, menggantikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.