sukan

Johor Darul Ta’zim bakal tampil dengan berhati-hati

JOHOR BAHRU: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim bakal tampil dengan corak permainan berhati-hati apabila berdepan Kelab Bolasepak Unversiti Malaysia dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok

Walaupun beraksi di gelanggang sendiri sebagai pasukan pelawat, pengendali JDT, Hector Bidoglio enggan memandang rendah keupayaan skuad bimbingan Ridzuan Abu Shah selepas pasukan itu mengejutkan pasukan Liga Super, PDRM FC 3-0 pada pusingan 16 terakhir.

Katanya, setiap pasukan yang JDT hadapi memiliki kekuatan tersendiri dan anak buahnya tidak pernah bersikap sambil lewa apabila berdepan mana-mana pasukan – tidak kira pasukan Liga Super atau Semi-Pro.

“Ini adalah bola sepak dan bagi kami ia perlawanan penting, malah perlu memberi fokus untuk aksi seterusnya bagi memastikan kemenangan buat JDT dan sudah tentu kami serius untuk berdepan pasukan Universiti Malaysia.

“Sebagai pasukan profesional, kami tetap melayan mana-mana pasukan, walau pasukan itu bertaraf Semi-Pro kerana mereka tetap berkualiti dan apa yang pasukan itu lakukan apabila menang 3-0 ke atas PDRM FC membuktikan mereka mampu beri cabaran.

“Untuk aksi suku akhir, kami akan turun sebagai pasukan berstatus juara bertahan, sudah tentu kami mahu mempertahankannya tapi kami tidak boleh terlalu ghairah sebaliknya mahu lebih berwaspada,” kata Bidoglio.

Bidoglio juga enggan melayan desakan sesetengah penyokong yang mahu JDT mempertaruhkan barisan pemain tempatan tanpa menurunkan pemain import dalam kesebelasan utama apabila berdepan pemain Universiti Malaysia yang majoriti adalah pemain muda yang juga pelajar unversiti terbabit.

Beliau menegaskan, JDT harus melengkapkan kesebelasan utama yang mantap dengan gandingan pemain import dan pemain tempatan.

sumber:-BH

“Kami akan buat persiapan rapi dan tidak salah untuk kami turunkan barisan pemain import dan tempatan. Mereka menang 3-0 baru-baru ini, jadi kami perlu ambil iktibar dan tidak terperangkap dengan helah lawan,” katanya.