KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj percaya Kenneth Jonassen mampu menghasilkan ‘resipi’ terbaik untuk melonjakkan prestasi pemain perseorangan negara.
Beliau berkata Jonassen, 50, adalah jurulatih yang serba boleh termasuk sangat mementingkan sains sukan.
Katanya, jika jurulatih dari Denmark itu mampu menggabungkan gaya permainan Eropah dan Asia, ia bakal memberi kelebihan buat pemain negara di pentas antarabangsa.
“Perkara pertama yang dia perlu lakukan adalah mengenali dengan mendalam setiap pemainnya, kenal pasti kekuatan dan kelemahan pemain.
“Daripada situ nanti dia boleh tahu apa yang perlu dilakukan ke atas setiap pemainnya.
“Dia adalah seorang jurulatih yang serba boleh dan tahu sains sukan. Dia juga boleh gunakan psikologi kepada pemain kerana dia adalah bekas pemain.
“Pemain pula perlu beri kerjasama sepenuhnya kepada Kenneth jika mereka benar-benar mahu mencapai kejayaan di peringkat tertinggi,” kata James yang juga bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada BH Sukan.
Semalam, Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam mengumumkan pelantikan Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu dengan kontrak selama empat tahun dan akan memulakan tugas secara rasmi pada 4 Januari depan.
Bekas ketua jurulatih Denmark itu akan mengemudi kedua-dua sektor perseorangan lelaki dan wanita selain bekerja rapat dan memberikan laporan kepada Pengaah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky berhubung program latihan skuad perseorangan kebangsaan.
BAM meletakkan harapan tinggi kepada Jonassen yang diberi tugasan untuk melahirkan pemain yang mampu memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Mengulas mengenai harapan yang diletakkan BAM ke atas Jonassen, James percaya ia bukan sesuatu yang mustahil kerana jurulatih itu sudah membuktikannya ketika membantu jaguh Denmark, Viktor Axelsen memenangi pingat emas Olimpik Tokyo 2020.
“Saya fikir ia bukan masalah besar kepada Jonassen kerana dia hanya perlukan pemain yang mempunyai potensi untuk digilap.
“Sekarang ini Leong Jun Hao sudah mula menyerlahkan potensinya (muncul naib juara Masters Kumamoto di Jepun) dan itu adalah petanda yang positif.
sumber:- BH
“Kita juga ada pemain berbakat seperti Justin Hoh yang baru berusia 20 tahun. Jika pemain betul-betul komited, saya percaya ada peluang,” katanya.