sukan

Jorda Ribera tuntut tiga mata penuh berdepan Singapura

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Javier Jorda Ribera menuntut anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan apabila turun menentang Singapura esok.

Skuad muda negara jelas berada dalam momentum terbaik selepas membelasah Macau 5-0 malam tadi, sekali gus kemenangan ketiga berturut-turut mereka pada kempen Kelayakan Piala Bawah 17 tahun (B-17) di Vietnam.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, anak buah Ribera mengutip sembilan mata maksimum dan meledak 19 gol selain belum melepaskan sebarang gol setakat ini.

Kemenangan ke atas Singapura sememangnya dituntut untuk meneruskan pemburuan slot ke Arab Saudi sebelum membuat perhitungan menentang Vietnam bagi perebutan juara kumpulan di Stadium PVF pada Ahad.

“Dalam tempoh 48 jam lagi, kita akan menentang jiran kita, Singapura dan kita sangat mengenali mereka. Jadi ini akan menjadi aksi 50/50.

“Kita akan menilai keadaan pemain dan bersedia untuk beraksi pada perlawanan keempat ini mengikut perancangan,” kata Ribera.

Sebagai rekod, hanya juara kumpulan pada peringkat kelayakan ini akan mara ke pusingan akhir Piala Asia B-17 yang akan berlangsung di Arab Saudi, Mei tahun depan.

Dalam masa sama, Ribera turut mengharapkan anak buahnya dapat terus memperaga aksi konsisten sama seperti yang ditunjukkan dalam tiga perlawanan pertama sebelum ini.

“Kita dapat mengatasi corak permainan bertahan ketika menentang Macau dan mengubah struktur serangan kita untuk mencipta seberapa banyak peluang bagi mendapatkan gol.

“Kita perlu sentiasa bersabar kerana kita perlu tahu peluang akan hadir. Pemain simpanan juga memainkan peranan penting untuk kita mengekalkan tahap sepanjang tiga perlawanan ini,” katanya.