Kuala Lumpur: Juara Dunia 2025, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ingin menjadikan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai motivasi utama untuk menambah koleksi kejuaraan dalam karier mereka.
Bagi Tang Jie, selepas mengharungi pelbagai rintangan serta kejayaan demi kejayaan tahun ini, mereka akan meningkatkan lagi prestasi serta menambah baik segala kekurangan yang ada agar dapat tampil di Jepun sebagai pencabar utama dalam pertandingan itu.
Katanya, Sukan Asia adalah antara kejohanan tertinggi selain Sukan Olimpik dan sebab itu, kemenangan di temasya berkenaan menjadi rebutan setiap atlet yang menyertainya.
“Untuk sasaran terbesar, sebenarnya saya tidak mahu katakan sebagai sasaran utama, tetapi sebagai motivasi, Sukan Asia sudah tentu menjadi salah satu kejohanan yang kami sasarkan.
“Setiap pemain pasti mahu mencipta kejayaan di kejohanan besar. Buat masa ini, kami akan berehat dan menenangkan diri terlebih dahulu,” katanya.
Untuk rekod, antara pencapaian terbaik mereka musim ini adalah muncul juara dunia di Paris pada Ogos lalu yang juga kali pertama dalam karier mereka selain meraih gelaran Terbuka Australia.
Selain itu, mereka turut muncul naib juara Masters China dan mara ke separuh akhir sebanyak lapan kali di kejohanan utama lain.
Pada perkembangan sama, Ee Wei pula berpuas hati dengan persembahan mereka pada tahun ini walaupun pelbagai cabaran perlu dihadapi.
Namun, dirinya tetap melihat masih banyak perkara perlu diatasi terutama dalam mengawal situasi ketika mata penting.
“Secara keseluruhan, saya rasa kami sudah melakukan tugas dengan baik sepanjang musim walaupun bermula dengan keputusan yang kurang memberangsangkan. Namun, kami terus percaya antara satu sama lain dan bekerja keras setiap hari dalam latihan.
“Bagi kejohanan terakhir ini (Jelajah Dunia Akhir BWF), kami juga beraksi dengan baik, tetapi masih banyak perkara yang perlu dipelajari, khususnya daripada lawan mengenai cara mengendalikan situasi ketika mata genting. Itu adalah sebahagian daripada proses sebagai seorang atlet dan kami akan terus melakukan yang terbaik pada kejohanan akan datang,” katanya.
Terdahulu, perjalanan mereka di Jelajah Dunia Akhir terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-9, 11-21, 17-21.
Kini, fokus beregu nombor empat dunia itu akan terarah kepada persiapan menghadapi Terbuka Malaysia dan berhasrat meraih sesuatu yang lebih manis di hadapan penyokong sendiri.