sukan

Juara Jelajah ACS EDU bakal terima hadiah terbesar

KUALA LUMPUR: Lebih 6,400 peserta dari 100 universiti di seluruh negara akan bersaing merebut hadiah berjumlah RM200,000 menerusi pertandingan PUBG Mobile pada Jelajah ACS EDU Musim 3 yang diadakan bermula 19 Jun ini hingga November depan.

Pengasas bersama CRIT Esports, Randy Lim berkata setiap pasukan akan diwakili empat pemain dalam kejohanan melibatkan tiga peringkat pertandingan iaitu peringkat university minors (1,600 pasukan), territory majors (256 pasukan) dan grand final (16 pasukan).

“Matlamat jangka panjang kami ialah menjadikan kejohanan ini sebagai acara yang dinanti-nantikan semua pada setiap tahun.

“Apabila kami bermula dengan Musim 1 dan 2, ia melibatkan 12 hingga 16 universiti dan tahun ini, kami kembali dengan penglibatan 100 universiti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan itu di Asia Pacific University, di sini, hari ini.

Juara Jelajah ACS EDU Musim 3 juga akan membawa pulang trofi yang direka khas bagi memperingati kerja keras dan dedikasi mereka sepanjang kejohanan berkenaan.

Jelajah ACS EDU Musim 3 itu mendapat sokongan padu Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dan Esports Integrated (ESI), sejajar dengan misi mereka untuk melibatkan keseluruhan ekosistem e-sukan daripada akar umbi hingga peringkat profesional.

sumber:BH

Jelajah ACS EDU kali ini adalah kali pertama ia melibatkan pertandingan PUBG Mobile dengan dua musim sebelumnya membabitkan pertandingan Mobile Legends. – BERNAMA