KUALA LUMPUR: Beregu muda lelaki negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai semakin membara menjelang saingan Masters Guwahati yang bermula, esok selepas merangkul gelaran Kejohanan Antarabangasa Syed Modi, semalam.
Pasangan ranking ke-57 dunia itu merakam kemenangan kedua berturut-turut ke atas rakan senegara, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao (ranking ke-45 dunia), apabila menewaskan mereka 21-9, 21-19 di Lucknow, India.
Bulan lalu, Khai Xing-Aaron turut menumpaskan pasangan profesional berkenaan untuk menjulang kejuaraan Malaysia Super 100 di Johor.
Aaron, 19, berharap prestasi cemerlang itu dapat diteruskan menjelang kejohanan di Guwahati dengan mereka diletakkan sebagai pilihan keenam dan akan bertemu pemain kelayakan pada pusingan pertama.
“Kemenangan pada tahap Super 300 ini meningkatkan lagi tahap keyakinan kami. Saya harap kami dapat mengekalkannya,” kata Aaron menerusi rakaman video dimuat naik di laman sosial Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Khai Xing, juga berusia 19 tahun, menyifatkan set pertama perlawanan final di Lucknow sebagai antara aksi paling kemas mereka musim ini.
“Kami bermain sangat baik di set pertama kerana tidak banyak melakukan kesilapan tetapi set kedua sedikit sengit kerana tempo permainan kami menurun,” katanya.
Selepas muncul juara remaja dunia remaja tahun lalu, Khai Xing-Aaron bergelut menyesuaikan diri di pentas senior apabila tewas 11 kali berturut-turut pada pusingan awal sebelum muncul juara di Johor.
Khai Xing mengakui musim mereka tidak konsisten tetapi gembira melihat peningkatan prestasi mereka ketika ini.
“Kami perlahan-lahan mendapat rentak dan momentum walaupun musim ini turun naik.
Secara keseluruhan, saya puas hati dengan perkembangan kami dan sudah semakin biasa dengan intensiti pertandingan senior,” katanya.