sukan

Jumlah Gaji Ronaldo sehari lebih dua kali ganda berbanding seteru utamanya

LONDON: Cristiano Ronaldo memperoleh pendapatan dua kali ganda berbanding seteru utamanya, Lionel Messi selepas senarai pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia diumumkan.

Bintang Al-Nassr itu dilaporkan meraih kira-kira 488,000 pound (RM2.66 juta) sehari menerusi kontrak lumayannya bersama kelab Arab Saudi berkenaan.

Jumlah itu membolehkan Ronaldo menduduki tangga teratas senarai pemain bola sepak berpendapatan tertinggi dunia.

Menurut senarai Forbes, Ronaldo dianggarkan memperoleh sekitar 225 juta pound (RM1.22 bilion) semusim, merangkumi 187 juta pound (RM1.02 bilion) daripada Al-Nassr dan 37 juta pound (RM201 juta) menerusi urusan komersial.

Pendapatan luar biasa itu lebih dua kali ganda berbanding Messi yang meraih kira-kira 108 juta pound (RM589 juta) semusim.

Kontrak Messi bersama kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami, memberikannya sekitar 52 juta pound (RM283 juta) setahun, manakala pendapatan daripada penajaan dan urusan komersial menyumbang tambahan 56 juta pound (RM305 juta).

Ronaldo dan Messi yang bersaing merebut gelaran pemain terbaik dunia selama lebih sedekad, menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan 706 juta pound (RM3.85 bilion) pendapatan gabungan 10 pemain paling lumayan itu.

Bintang Real Madrid, Kylian Mbappe, menduduki tempat ketiga dengan pendapatan sekitar 75 juta pound (RM409 juta) setahun selepas menamatkan kontrak tahunannya bernilai 15 juta pound (RM81 juta) bersama Nike.

Penyerang Manchester City, Erling Haaland, berada di tangga keempat dengan pendapatan 64 juta pound (RM349 juta) setahun, termasuk hasil kerjasama komersial dengan syarikat seperti Revolut dan Nike.

Melengkapkan kelompok lima teratas ialah bintang Real Madrid, Vinicius Jr, yang memperoleh sekitar 56 juta pound (RM305 juta) setahun selepas menandatangani kontrak baharu bernilai 25 juta pound (RM136 juta) semusim bersama kelab itu.

Kontrak lumayan Lamine Yamal bersama Barcelona yang dimeterai tahun lalu turut menyumbang kepada kedudukannya di tangga keenam.Pemain muda Sepanyol itu memperoleh kira-kira 41 juta pound (RM223juta) setahun selepas bersetuju dengan kontrak bernilai 33.5 pound juta (RM182 juta) semusim bersama gergasi Catalan berkenaan.

Walaupun hanya menjaringkan satu gol pada Piala Dunia, Yamal membantu Sepanyol menjuarai kejohanan itu.

Popularitinya yang semakin meningkat turut membolehkannya menjalin kerjasama dengan jenama fesyen American Eagle.

Yamal diikuti penyerang Al-Nassr yang juga bekas bintang Liverpool, Sadio Mane, dengan pendapatan 40 juta pound (RM218 juta), manakala Jude Bellingham berada di tangga kelapan dengan 34 juta pound (RM185 juta) setahun.

Bellingham semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara nama besar dalam bola sepak, di dalam dan luar padang, selepas persembahannya bersama England pada Piala Dunia.

Pendapatannya turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan Adidas serta jenama fesyen Louis Vuitton dan Skims.

Di tangga kesembilan dan buat kali pertama tersenarai ialah kapten England yang juga penyerang Bayern Munich, Harry Kane.

Kane memperoleh kira-kira 32 juta pound (RM174 juta) setahun hasil kontrak bernilai 400,000 pound (RM2.18 juta) seminggu bersama kelab Jerman itu serta kerjasama komersial dengan syarikat seperti Skechers dan Google Gemini.

Legenda Liverpool, Mohamed Salah, melengkapkan kelompok 10 pemain berpendapatan tertinggi dengan kira-kira 30 juta pound (RM163 juta) setahun selepas menandatangani kontrak lumayan selama dua tahun bersama Trabzonspor yang bernilai 363,000 pound (RM1.98 juta) seminggu.

Salah meninggalkan Anfield pada musim panas lalu, sekali gus menjadikan Haaland satu-satunya wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam senarai berkenaan.

Bagaimanapun, kemasukan Bellingham dan Kane menyaksikan England mempunyai dua pemain dalam kelompok 10 teratas buat kali pertama sejak Wayne Rooney dan David Beckham pada 2013.

Nama besar yang tidak tersenarai ialah bekas penyerang Real Madrid, Karim Benzema.

Penyerang legenda itu memperoleh 78 juta pound (RM425 juta) musim lalu sebelum menamatkan kontraknya bersama Al-Hilal dan kini berstatus ejen bebas.