Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta situasi antiklimaks buat peminat tuan rumah di Istora Senayan, Jakarta apabila muncul juara Masters Indonesia, hari ini.
Selepas menyingkirkan bekas juara dunia yang juga rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di separuh akhir, pasangan ranking 13 dunia itu menjadikan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sebagai mangsa mereka di pentas final.
Seperti tidak menghiraukan kedudukan ranking lebih tinggi dan rekod pertemuan yang memihak lawan 4-0, Wei Chong-Kai Wun hanya memerlukan permainan straight set untuk menang 21-11, 21-19.
Malah gegak gempita sorakan ribuan penyonkong di Istora Senayan juga seakan tidak memberi kesan kepada pasangan negara itu dengan perlawanan hanya dimukmadkan dalam tempoh hanya 37 minit.
Permainan tampak tidak seimbang seawal set pertama apabila Fajar-Muhammad Rian yang menghuni ranking keempat dunia tampak gugup dan gagal mengimbangi corak permainan pantas Wei Chong-Kai Wun.
Hanya sekali membenarkan lawan mengatasi mereka dari sudut pungutan mata, Wei Chong-Kai Wun menggunakan kelebihan untuk menjarakkan jurang sehingga 19-11.
Set pertama ditamatkan dengan keputusan 21-11 selepas Fajar mengetuk bulu tangkis ke luar gelanggang sekalipun Kai Wun pada ketika itu sudah pun terduduk.
Set kedua menyaksikan Fajar-Muhammad Rian yang juga bekas pasangan nombor satu dunia cuba mengikuti corak permainan Wei Chong-Kai Wun.
Sekali pun beberapa kali berjaya mengikat kedudukan termasuk di mata 18-18 dan 19-19, kesilapan sangkut di jaring memberikan kemenangan kepada pasangan Malaysia.
sumber:- BH
Sebagai rekod, Wei Chong-Kai Wun sebelum ini mencipta sensasi apabila mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia, awal bulan ini sebelum terkandas di pusingan pertama Terbuka India, minggu lalu.