KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao mengakui bukan mudah menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen.
Tetapi selepas beberapa bulan menjalani latihan intensif, pemain berusia 25 tahun itu mula memahami pendekatan Jonassen.
“Saya makin faham apa yang cuba disampaikan oleh jurulatih dan sekarang saya lebih yakin untuk terapkan perkara yang dipelajari dalam latihan ke dalam perlawanan,” kata Jun Hao.
Jun Hao yang menduduki ranking ke-25 dunia merampas gelaran pemain perseorangan utama negara daripada pemain profesional, Lee Zii Jia, yang jatuh ke tangga ke-28 dalam kemas kini terbaru ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.
Meskipun mengharungi kempen kurang memberangsangkan – termasuk tersingkir awal dalam lapan daripada sembilan kejohanan tahun ini – Jun Hao percaya prestasinya mula menunjukkan peningkatan.
Satu-satunya keputusan positif mara ke suku akhir Terbuka Singapura bulan lalu.
sumber:- BH
Bekas juara remaja Asia itu kini dalam fasa akhir persiapan menghadapi tiga kejohanan iaitu Terbuka Jepun (15-20 Julai), Terbuka China (22-27 Julai) dan Kejohanan Dunia di Paris (25-31 Ogos).