KUALA LUMPUR: Skuad perseorangan badminton negara bakal menjalani fasa akhir persiapan menjelang Kejohanan Dunia di Paris dengan menyertai kem latihan prakejohanan di Denmark dari 18 hingga 22 Ogos ini.
Dua pemain utama, Leong Jun Hao dan K Letshanaa akan menjadi sandaran negara di kejohanan berprestij itu, manakala Justin Hoh turut disenaraikan sebagai rakan sepelatih sepanjang sesi latihan.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen, program latihan di Eropah itu bertujuan memantapkan permainan dan memberi peluang kepada pemain berlatih dengan rakan sepelatih bertaraf tinggi di samping menyesuaikan diri dengan zon masa serta cuaca sebelum turun ke gelanggang sebenar di Paris.
“Kami ada buat permintaan skuad kebangsaan Denmark untuk berlatih di Pusat Latihan Kebangsaan mereka.
“Ini satu peluang sangat baik untuk pemain kita berlatih dengan rakan regu bertaraf tinggi,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Jonassen yang juga bekas ketua jurulatih Denmark menjangkakan beberapa pemain negara itu akan berada di kem latihan berpangkalan di Copenhagen.
Katanya, Denmark memiliki ramai pemain berkualiti dan peluang berlatih di sana sangat berguna untuk mereka mengubah sedikit pendekatan latihan dan beri variasi kepada pemain.
“Kami masih ada tiga minggu di sini sebelum berlepas. Latihan di Denmark akan berlangsung selama seminggu dan menjadi sebahagian strategi mempercepat proses adaptasi,” katanya.
sumber:- HM
Kejohanan Dunia 2025 dijadual berlangsung dari 25 Ogos hingga 1 September di Paris, Perancis.