sukan

Jun Hao mara ke pusingan seterusnya Terbuka Singapura

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melepasi halangan pertama di Terbuka Singapura 2024 apabila melakar kejutan ke atas pemain ranking ke-28 dunia dari Jepun, Kanta Tsuneyama, sebentar tadi.

Jun Hao yang berada di ranking ke-36 dunia hanya memerlukan 45 minit di Stadium Dalam Dewan Singapura untuk menewaskan Tsuneyama 21-13, 21-16 pada pertemuan sulung antara kedua-dua pemain berkenaan.

Namun halangan sebenar pemain berusia 24 tahun itu hanya akan bermula pada pusingan kedua apabila kemungkinan bertemu sama ada pilihan ketujuh kejohanan dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting atau perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia yang akan bertembung untuk aksi pusingan pertama, esok.

Jun Hao masih belum meraih kemenangan ke atas kedua-dua pemain berkenaan dengan dua pertemuan bersama Anthony sebelum ini menyaksikan pemain kelahiran Kuala Lumpur itu tewas di pusingan kedua Masters Indonesia 2024 dan Terbuka Hong Kong 2023.

Seandainya bertemu Zii Jia, Jun Hao di atas kertas turut bakal berdepan halangan berliku memandangkan tiga pertemuan sebelum ini turut berakhir tanpa kemenangan.

Kali terakhir kedua-dua pemain ini bertemu adalah di pentas suku akhir Terbuka Arctic 2023 yang menyaksikan Zii Jia mara ke pusingan seterusnya selepas Jun Hao terpaksa menarik diri di set penentuan susulan kecederaan.

Terdahulu, turut melangkah mara ke pusingan kedua adalah beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menewaskan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-18, 21-13 pada pertembungan kesembilan antara kedua-dua beregu itu.

Pertemuan itu adalah yang pertama dalam tempoh lima tahun dengan aksi terakhir di suku akhir Terbuka Macau 2019 dimenangi Sze Fei-Nur Izzuddin 21-12, 21-16.

sumber:-SH

Sze Fei-Nur Izzuddin yang berada di ranking ke-14 dunia akan berentap dengan pilihan kelapan kejohanan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di pusingan kedua selepas gandingan China itu menewaskan Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis 25-23, 21-10.