PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao enggan sekadar menjadi penumpang pada penampilan sulung di Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis akhir bulan ini.
Sebaliknya pemain berstatus ke-25 dunia itu mahu pergi jauh dalam pertandingan berpretij tersebut, sekali gus membuktikan dirinya mampu mencabar kelompok terbaik dunia.
“Memang teruja sebab kali pertama buat saya beraksi di kejohanan besar seperti ini. Sasaran saya adalah ambil satu demi satu perlawanan dan buat yang terbaik dalam setiap aksi.
“Sesiapa pun ada peluang. Saya harap dapat mencipta kejutan demi kejutan dalam satu kejohanan, bukan sekadar sekali-sekala.
“Setiap perlawanan adalah cabaran baharu dan saya akan cuba lakukan sesuatu yang berbeza untuk menang,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.
Kejohanan tersebut dijadual berlangsung Arena Porte de la Chapelle dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Jun Hao yang selesa memegang status ‘underdog’ tidak melihat kedudukannya sebagai kelemahan, sebaliknya sebagai peluang untuk mengejutkan lawan yang lebih berpengalaman.
Biarpun musim ini agak hambar dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir Terbuka Singapura, namun dia sudah membuktikan kemampuan menumbangkan jaguh seperti Jonatan Christie, Kodai Naraoka dan Kenta Nishimoto.
Bagi memastikan persedian terbaik, Jun Hao akan berlepas ke Denmark pada Sabtu ini untuk menjalani latihan lima hari bersama skuad kebangsaan negara itu sebelum terbang ke Paris.
“Ini kali pertama kami buat persediaan seperti ini. Jurulatih kami dari Denmark dan mempunyai hubungan baik dengan mereka, jadi ia satu inisiatif yang bagus.
“Walaupun saya tidak pasti siapa yang ada di sana nanti, tapi berlatih bersama pasukan kebangsaan Denmark pasti beri pengalaman berbeza,” jelasnya.
sumber:- SH
Selain Jun Hao, cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki turut digalas pemain profesional, Lee Zii Jia yang diharap mampu menamatkan kemarau pingat sejak kali terakhir Datuk Lee Chong Wei meraih perak pada 2015 di Jakarta.