sukan

Jun Hao tekad lupakan episod duka di Piala Thomas

Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao akan melupakan episod duka di Piala Thomas 2026 dan berazam untuk segera bangkit selepas dirinya gagal memberikan persembahan cemerlang di kejohanan itu.

Bagi Jun Hao, dia melihat prestasinya di Horsens, Denmark tidak bagus serta gagal menyumbang mata kepada skuad negara dan itu memang mengecewakan dirinya sendiri.

Katanya, tekanan selaku perseorangan pertama negara sedikit sebanyak memberi cabaran, namun dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan terhadap prestasi kurang memberangsangkan yang dipamerkan di kejohanan berpasukan berprestij itu.

“Secara peribadi saya rasa prestasi saya kali ini memang tidak cukup baik. Tekanan itu memang ada, tetapi pada masa sama saya rasa prestasi sendiri juga sedikit kurang kali ini,” katanya selepas pulang dari Horsens, Denmark, hari ini.

Selain itu, pemain berusia 27 tahun itu sedar dirinya menerima kritikan hebat di media sosial susulan prestasi hambar yang dipamerkannya sepanjang kejohanan itu.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berpendapat dia perlu menerima segala pandangan yang diberikan dan mahu menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk kembali bangkit.

“Orang akan tetap komen apa yang mereka mahu cakap. Jadi walau macam mana pun saya perlu ambil perkara itu dengan terbuka,” katanya.

Jun Hao tewas kepada pemain Finland, Joakim Oldorff (17-21, 15-21), Kodai Naraoka dari Jepun (11-21, 15-21) dan Shi Yu Qi dari China (10-21, 21-16, 9-21).