Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao memperoleh suntikan semangat menjelang saingan Terbuka Malaysia apabila berpeluang menjalani latihan bersama bintang India, Laskhya Sen di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen berkata, peluang menjalani latihan selama dua hari itu memberi banyak manfaat buat pemain-pemain negara yang jarang mendapat peluang beraksi dengan rakan sepelatih bertaraf dunia.
“Ya, dia (Lakshya) menyertai sesi latihan bersama kami untuk tempoh beberapa hari ini. Dia memang datang ke sini sebagai persediaan bagi menghadapi kejohanan Terbuka Malaysia dan kami mengalu-alukan kehadirannya.
“Saya rasa ia memberikan manfaat kepada kami kerana kualiti latihan itu tidak diperolehi setiap hari. Ini adalah peluang terbaik yang perlu dimanfaatkan semua pemain,” katanya ketika ditemui di ABM, hari ini.
Jelas Jonassen, pemain bertaraf dunia seperti Lakshya memberikan kualiti latihan berbeza selain mampu menjadikan suasana latihan seolah-olah perlawanan sebenar.
“Kualiti dan kelajuan yang dihasilkan pemain bertaraf dunia dalam latihan sangat berbeza. Itulah tekanan yang kita rasakan apabila bermain dalam kejohanan, bagi saya ini situasi menang-menang,” kata Jonassen.
Selain Jun Hao, pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia juga akan beraksi di Terbuka Malaysia selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Jun Hao dijadualkan berdepan pemain nombor 29 dunia dari China, Wang Zheng Xing pada pusingan pertama di mana kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sebelum ini.
Manakala Zii Jia bakal berdepan pemain muda India, Ayush Shetty.