sukan

Jun Hao terpaksa menarik diri daripada Masters Indonesia 2026

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen mengesahkan Leong Jun Hao terpaksa menarik diri daripada Masters Indonesia yang bermula hari ini bagi mengelakkan risiko kecederaan menjadi lebih serius.

Menurut Jonassen, fokus utama ketika ini adalah terhadap beberapa kejohanan di Eropah termasuk Seluruh England, justeru beliau tidak mahu pemainnya mengambil sebarang risiko yang boleh menjejaskan perancangan sedia ada.

“Pertama sekali, dia berdepan beberapa isu kecil yang menghalangnya menjalani latihan dengan sempurna sebelum berlepas ke Indonesia dan kami perlu menilai sama ada dia benar-benar mampu bersaing di tahap tertinggi tanpa memburukkan keadaannya.

“Saya tidak mahu mengulas secara terperinci, namun ia bukan kecederaan serius, sebaliknya isu fizikal kecil yang tidak membenarkan tekanan latihan optimum. Kami tidak mahu mengambil risiko dalam kejohanan bertaraf Super 500,” katanya.

Selain itu, jurulatih kelahiran Denmark itu memaklumkan Jun Hao akan menjalani program pemulihan serta latihan kecergasan bagi memastikan kekuatan fizikalnya berada pada tahap optimum.

“Jadi, kami meletakkannya dalam program pemulihan minggu ini, dengan penekanan khusus untuk meningkatkan keupayaan fizikal sebagai persediaan menghadapi kejohanan Eropah, terutamanya Seluruh England,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jonassen berharap seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara, Justin Hoh dapat menampilkan corak permainan lebih agresif serta cepat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Ini peluang yang baik untuk Justin menunjukkan apa yang dipelajarinya sepanjang lima atau enam minggu lalu, namun menentang pemain China yang sangat mahir, anda tidak boleh mengikut rentak permainan mereka.