sukan

Jurulatih enggan buat laporan

KUALA LUMPUR: Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) meminta mana-mana jurulatih yang berdepan masalah terutama membabitkan isu tunggakan gaji membuat laporan rasmi kepada persatuan itu.

Presiden PJBM, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan ia bagi membolehkan pihaknya mengambil langkah untuk menghulurkan bantuan sebaik mungkin mengikut prosedur yang betul.

Beliau mengesahkan, setakat ini belum ada jurulatih yang tampil membuat laporan rasmi kepada PJBM meskipun beberapa pasukan dilaporkan berdepan isu tunggakan gaji.

Malah, bekas pengendali skuad kebangsaan yang sekarang ini membimbing Sabah menafikan PJBM berdiam diri mengenai isu tunggakan gaji, sebaliknya pihaknya mengambil berat mengenai masalah yang dihadapi jurulatih.

“Kalau ada kecurian, polis tidak boleh bertindak tanpa laporan. Jadi, jika jurulatih mempunyai masalah gaji dengan pihak tertentu, laporkan kepada PJBM dan kami akan menghantar atau membuat afidavit mengikut prosedur yang dikehendaki ke FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

“Itu yang boleh kami bantu dan kami mahu mereka ini terbela. Kami bertindak mengikut saluran yang betul, jadi untuk menyalahkan PJBM tidak mengambil berat terhadap jurulatih, itu satu tanggapan yang cukup tidak matang.

“Ketika (Sabah) menentang Kedah di Kota Kinabalu, saya ada berbisik dengan Nafuzi Zain (ketua jurulatih Kedah) selepas perlawanan di mana saya cakap ‘Nafuzi, saya faham keadaan Kedah tapi buat laporan kepada PJBM untuk kita bantu’.

“Bukan bantu pastikan dapat gaji, itu bukan daripada kawalan kami, tapi kami boleh ketengahkan isu jurulatih ini kepada pihak lebih tinggi yang mana saya percaya FAM juga mengambil berat isu ini,” katanya.

Kim Swee berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Seminar Kejurulatihan Bolasepak Antarabangsa, di sini semalam.

Selain itu, Kim Swee tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan jurulatih tidak mengemukakan laporan rasmi kepada PJBM kerana bimbang ‘digam’ oleh pasukan.

sumber:-BH

“Bagi saya, kita tak perlu fikirkan dan saya nasihatkan kepada mereka, buat laporan yang mana kami tidak akan menghebahkan siapa yang buat laporan. Kalau tiada laporan kami tidak boleh bertindak,” katanya.