sukan

Jurulatih skuad futsal negara mohon maaf

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Addie Azwan Zainal memohon maaf susulan pencapaian pasukan negara dalam kejohanan Piala Asia Futsal 2026.

Skuad futsal Harimau Malaya menutup saingan Kumpulan D dengan kekalahan ketiga berturut-turut apabila tunduk 1-6 kepada Arab Saudi di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, semalam.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara yang turut tewas 1-4 dan 0-7 kepada Iran dan Afghanistan sebelum ini menghuni tangga terbawah kumpulan, sekali gus gagal ke suku akhir.

Addie bagaimanapun menganggap persembahan pasukannya tidak terlalu teruk, namun masalah utama yang dihadapi skuad negara adalah dalam mencipta jaringan.

“Pertama sekali, terima kasih kerana memberi saya peluang untuk membimbing pasukan kebangsaan kali ini. Kedua, saya memohon maaf sebab persembahan pasukan kebangsaan… nak kata teruk, tak teruk, mungkin saya yang teruk dekat sini.

“Saya minta maaf bagi pihak pasukan, tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik. Mungkin tiada rezeki pada tahun ni, mungkin akan datang ada rezeki untuk pasukan.

“Saya harap semua yang bergiat dalam bidang futsal di Malaysia tidak berputus asa untuk bantu pasukan negara bagi kemajuan yang akan datang,” katanya.

Sebagai rekod, ini penampilan pertama skuad futsal negara di pentas Piala Asia selepas kali terakhir layak pada edisi 2018 di Taiwan dan dalam 12 penampilan sejak 1999, Malaysia hanya beraksi di peringkat kumpulan, belum pernah mara ke suku akhir.

Selain itu, Addie berharap seluruh peminat akan terus memberi sokongan kepada pasukan futsal kebangsaan dengan skuad negara akan menghadapi kejohanan AFF di Thailand, April ini.

“Perjalanan kita masih jauh dan pasukan kita semakin bagus sebenarnya. Kita layak ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta ini dan juga meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2025 di Thailand. Walaupun keputusan kurang baik (di Jakarta), tapi pemain menimba pengalaman yang cukup baik,” katanya.