Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan campur tangan pemilihan pemain kacukan dengan segala kuasa diserahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menentukan keputusan itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan pengurusan baharu Harimau Malaya akan memantau seterusnya mengenal pasti pemain kacukan bersesuaian untuk diserapkan ke dalam pasukan.
Beliau berkata, jurulatih lebih mengetahui pemain berkebolehan dengan FAM akan menguruskan dokumentasi sebaik menerima senarai nama itu.
“Kita menyerahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menentukan pemain kacukan yang akan dibawa mewakili skuad kebangsaan.
“Setakat ini, tiada lagi pemain kacukan yang berada dalam pengurusan baharu skuad Harimau Malaya. Mungkin dalam proses pencarian kerana mahu yang berkualiti mewakili negara.
“Pada masa sama, sudah pastinya barisan kejurulatihan tidak mahu terburu-buru memilih pemain kacukan kerana perlu mengenal pasti identiti selain turut memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Sebelum itu, Arena Metro melaporkan bahawa usaha untuk mendapatkan pemain warisan atau berdarah kacukan yang beraksi di luar negara bagi menyertai skuad Harimau Malaya tidak semudah seperti yang disangka.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi laman X memaklumkan ada ‘calon’ pemain warisan yang tidak tahu mengenai Malaysia, malah ada yang menafikan mereka mempunyai pertalian darah dengan negara ini.
Tunku Mahkota Ismail yang menjadi tulang belakang di sebalik penstrukturan organisasi skuad kebangsaan bagaimanapun menjelaskan pemantauan akan diteruskan dengan lebih luas untuk membawa pemain warisan yang layak menyertai Harimau Malaya.
Namun, kecoh di laman sosial apabila terdapat sebuah portal yang sering memuat naik mengenai pemain kacukan Malaysia beraksi di luar negara, namun hakikatnya maklumat itu tidak benar hingga menerima kecaman daripada penyokong bola sepak tanah air.
sumber:-HM
Malah, ketua pasukan kelab Burnley, Josh Brownhill yang di canang berdarah kacukan Malaysia tampil menafikan khabar angin yang tular di media sosial itu.