sukan

Jurulatih yang beri saya senarai nama dan saya luluskan – Chong Wei

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan setiap keputusan yang dibuatnya tidak pernah didorong kepentingan peribadi, sebaliknya demi kepentingan badan induk itu dan negara.

Bekas jaguh perseorangan negara itu berkata, beliau sedar kedudukannya menyebabkan setiap keputusan akan mengundang reaksi berbeza, namun enggan menjadikan pandangan pihak tertentu sebagai penghalang untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Saya buat keputusan untuk kebaikan negara dan kebaikan BAM. Kita bukan asyik mahu jaga hati orang kerana memang susah. Ada orang tahu badminton dan kata kita buat benda betul, ada yang tidak tahu badminton pula kata kita buat benda salah.

“Kalau saya duduk di tempat ini dan tiada keputusan, orang marah saya juga. Kalau ada keputusan, saya gembira kerana saya tahu saya sudah menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Chong Wei turut menjelaskan bahawa keputusan mengetepikan Soh Wooi Yik daripada skuad Sukan Asia Aichi-Nagoya bukan berada di tangannya, sebaliknya dibuat berdasarkan cadangan barisan kejurulatihan beregu yang menilai prestasi serta keadaan pemain.

Katanya, beliau hanya menerima nama yang dikemukakan jurulatih untuk dipertimbangkan sebelum proses pemilihan dimuktamadkan, sekali gus menolak tanggapan beliau secara peribadi memilih untuk tidak membawa Wooi Yik ke temasya berkenaan.

“Kita ada jawatankuasa, kita ada jurulatih. Jurulatih yang beri saya senarai nama dan saya luluskan,” katanya.

Beliau mengakui tidak terlepas daripada kritikan di media sosial, malah ada komen yang disampaikan kepadanya sehingga membuatkan dirinya berasa kecil hati.

Namun, Chong Wei memilih menerima segala reaksi itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab selepas dilantik memegang jawatan berkenaan, sambil menegaskan matlamat utamanya adalah memastikan pemain mencapai kejayaan.

“Saya serius tidak mahu tengok media sosial. Tetapi ada orang tangkap skrin dan tunjukkan kepada saya. Saya kecil hati, tetapi tidak mengapa. Ini tanggungjawab saya,” katanya.