KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh cemas sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Taiwan, hari ini.
Justin yang menduduki ranking ke-68 dunia dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan pemain di ranking ke-49 dari Perancis, Arnaud Merkle pada aksi pusingan pertama di Taipei Arena.
Pemain muda negara itu bermula goyah apabila tewas 10-21 di set pertama tetapi kembali bangkit memenangi set kedua 21-14 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi set ketiga menyaksikan Justin yang sudah merekodkan dua gelaran juara musim ini – Cabaran Antarabangsa Dove Saipan di Kepulauan Mariana Utara dan Terbuka Slovenia – mendominasi permainan untuk membolehkan dia menang 21-13.
Justin yang berada di bawah kendalian Datuk Tey Seu Bock akan bertemu pemain Indonesia, Yohanes Saut Marcellyno bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.
Sementara itu, nasib berbeza dialami pemain perseorangan lelaki profesional negara, Cheam June Wei apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama.
June Wei terpaksa akur apabila tewas secara straight set kepada pemain tuan rumah, Chi Yu Jen 19-21, 13-21.
Dalam saingan perseorangan wanita, pemain profesional negara, S Kisona melangkah ke pusingan kedua selepas tidak berdepan masalah menundukkan lawan dari Myanmar Thet Htar Thuzar 21-17, 21-17.
sumber:-BH
Kisona bagaimanapun dijangka berdepan ujian getir dalam usaha untuk layak ke suku akhir apabila dijadual bertemu pilihan ketujuh dari Indonesia, Putri Kusuma Wardani.