sukan

Kalau saya kalah sekali pun, saya tetap menang – TMJ

Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) tampil dengan nada tenang dan penuh keyakinan ketika mengulas pelbagai isu yang melanda baru-baru ini, sambil menegaskan baginda tidak pernah goyah menghadapi tekanan atau serangan dari mana-mana pihak.

Menerusi kenyataan di Instagram miliknya, baginda menegaskan apa juga tohmahan atau kempen negatif yang dilemparkan tidak pernah menggugat prinsip hidupnya, malah menyifatkan kekuatan sebenar tidak memerlukan sorakan ramai untuk terus berdiri.

“Ramai tanya bagaimana saya kekal tenang. Jawapan saya, apa paling teruk boleh berlaku? Saya tidak risau apa pun. Saya ada prinsip dan keutamaan sendiri yang jauh lebih penting daripada orang bercakap kosong.

“Kehidupan saya baik. Saya bersyukur. Hari seseorang boleh rampas kopi di tangan saya, hari itu baru saya perlu risau. Buat masa ini, saya serah dan percaya sepenuhnya kepada Allah,” titah baginda.

Menurut TMJ, baginda bertahun menjadi sasaran keraguan, kebencian dan kempen menjatuhkan imej, baginda tetap menutup setiap musim dengan kejayaan, sekali gus membuktikan kekuatan sebenar bukan datang daripada jumlah penyokong, tetapi keteguhan diri.

“Pembenci sentiasa bergerak dalam kelompok. Hanya yang kuat berjalan seorang diri. Apabila kemampuan kita terlalu tinggi, mereka akan bergabung untuk cuba menjatuhkan kita.

“Tapi mereka benci sebab kita masih berdiri walaupun melalui perkara yang sepatutnya mematahkan kita. Kekuatan seperti itu menakutkan golongan lemah,” katanya.

TMJ turut menegaskan perjalanan hidupnya tidak pernah ditakdirkan untuk mudah, namun cabaran yang ditempuh sepanjang kerjaya dan peribadi adalah proses membina legasi.

“Ada antara kita tidak dilahirkan untuk jadi biasa. Kita dilahirkan untuk capai kehebatan dan bertahan melalui cabaran berulang kali. Setiap cabaran membentuk legasi.

“Saya tahu Allah tidak beri semua ini untuk dibiarkan begitu sahaja. Setiap pertarungan sudah ditentukan sebelum bermula. Kalau saya kalah pun, saya tetap menang. Itu takdir,” titahnya.