sukan

kami berada pada tahap terbaik — Akram

KUALA TERENGGANU: “Usah sesekali ambil mudah, sebaliknya kekal beraksi sehingga wisel penamat,” ujar pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Akram Mahinan.

Pemain tengah skuad Penyu itu berkata demikian menjelang pertemuan tetangga dengan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.

Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan menundukkan bekas pasukannya, Kuala Lumpur City FC 2-0 Sabtu lalu bukan tiket untuk meraih tiga mata berdepan Tok Gajah.

Bagaimanapun jelas pemain kelahiran Kedah itu, kejayaan berkenaan mampu menyuntik semangat dia dan rakan sepasukannya untuk melakar kemenangan kelima dalam saingan liga setakat ini.

“Kami perlu kekalkan momentum kemenangan berdepan Sri Pahang lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri dengan ribuan peminat setia.

“Ini kerana kami mahu terus mengekalkan di kelompok tiga pasukan teratas liga sebagaimana yang kami duduki sekarang.

“Buat peminat, teruskan menyokong kami untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri selepas perlawanan liga dan Piala FA, harap ianya menjadi kenyataan, lagipun kami berada pada tahap terbaik,” ujar Akram.

Berdasarkan prestasi semasa, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu dilihat tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan lebih-lebih lagi rekod beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada musim ini begitu cemerlang.

sumber:-BH

Namun mereka perlu berwaspada kerana pada aksi liga pusingan pertama musim lalu, skuad Penyu terpaksa ‘gigit jari’ selepas tumpas 1-2 kepada Sri Pahang di laman sendiri sebelum mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi pusingan kedua di tempat lawan.