ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu memastikan momentum kemenangan diteruskan apabila turun beraksi menentang Kelantan Darul Naim FC (FC) dalam saingan Liga Super, Jumaat ini.
Menurut pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain, selepas melepasi halangan Penang FC pada suku akhir Piala FA lalu, skuadnya kini kembali memberi fokus kepada Liga Super – menentang KDN FC di laman sendiri.
“Kami mahu kekalkan rentak kemenangan kami dalam Liga Super bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta. Kedah kini berada di tangga kesembilan selepas menang 1-0 ke atas Penang FC sebelum ini.
“Aksi di laman sendiri kali ini juga bakal memberi peluang terbaik untuk semua pemain. Kami sedang membina kembali kecergasan menjelang aksi Jumaat ini.
“Faktor kecergasan memainkan peranan penting buat masa ini bagi memastikan kami kembali bersedia dan berada pada tahap kecergasan terbaik untuk berdepan semula cabaran Liga Super,” kata Nafuzi.
Nafuzi berkata skuadnya tidak akan mengambil mudah ancaman yang akan diberikan KDN FC meskipun beraksi di depan penyokong sendiri.
“Ada dua atau tiga pemain yang mungkin keletihan dan mengalami sedikit kecederaan, saya jangka akan melakukan sedikit perubahan apabila turun semula pada saingan Liga Super selepas ini.
“Meskipun KDN FC tidak berada dalam kelompok pasukan atasan Liga Super, skuad Kijang Emas mampu menggugat dan memberi ancaman yang kuat kepada Kedah di benteng pertahanan.
sumber:-BH
“Mereka memiliki kekuatan tersendiri dan kami perlu lebih berwaspada,” katanya.