sukan

Kami mempunyai rekod yang sangat baik – Munoz

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu memastikan tiada ruang buat kesilapan silam berulang apabila melayan kunjungan kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC dalam aksi Kumpulan B saingan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) 2026/27 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.

Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz menggesa anak buahnya supaya mengekalkan fokus serta persembahan bertenaga sejak minit awal permainan, terutamanya selepas berehat panjang ekoran kalendar perlawanan antarabangsa yang membabitkan Harimau Malaya dalam Kejohanan Piala ASEAN FIFA di Jakarta, baru-baru ini

Menurut pengendali kelahiran Sepanyol itu, walaupun kedua-dua pasukan pernah terikat 2-2 pada aksi musim lalu, situasi kali ini berbeza kerana perlawanan bakal berlangsung di laman sendiri dan kesempatan itu harus digunakan sepenuhnya bagi memburu keputusan positif.

“Perlawanan esok adalah berbeza dengan pertemuan sebelum ini, tambahan pula JDT kini diperkuat dengan beberapa muka baharu, begitu juga dengan pasukan lawan yang sudah ditambah baik menerusi rekrut baharu yang bakal memberi cabaran buat JDT.

“Pertembungan ini amat menuntut komitmen tinggi. Apa yang penting adalah kami perlu belajar daripada kesilapan lalu dan memastikan gawang tidak dibolosi malah pemain juga harus memberi fokus sebaik minit pertama perlawanan dan mengelak beri ruang kepada pasukan lawan.

“Lawan mempunyai barisan pemain tengah yang berkualiti serta kelajuan di jentera serangan. Jadi, kawalan semasa transisi bertahan amat penting untuk membendung ancaman mereka,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

Sementara itu, pertahanan Harimau Selatan, Shane Lowry menegaskan barisan pemain teruja untuk kembali beraksi di hadapan penyokong sendiri dan bertekad untuk membawa pulang keputusan positif.

“Mencegah gawang daripada dibolosi adalah keutamaan kami. Saya lebih gembira jika kami menang 1-0 atau 2-0 kerana ia kurang memberi tekanan kepada barisan pertahanan.

“Kami mempunyai rekod yang sangat baik di tempat sendiri dan menjadi kewajipan buat semua pemain untuk mempertahankan rekod itu di hadapan penyokong Johor,” katanya.