PARIS: Jawatankuasa tatatertib FIFA akan diminta meneliti dakwaan diskriminasi yang dibangkitkan oleh Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) selepas ia mengemukakan cadangan untuk menggantung Israel pada Mei lalu, menurut badan induk bola sepak dunia semalam.
PFA mencadangkan Israel digantung susulan peperangan di Gaza, menuduh Persatuan Bolasepak Israel (IFA) bersubahat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh kerajaan Israel, diskriminasi terhadap pemain Arab dan penyertaan dalam liga kelabnya yang terletak di wilayah Palestin.
IFA menolak tuduhan itu dan FIFA mengarahkan penilaian dari segi undang-undang.
“Jawatankuasa Tatatertib FIFA akan diberi mandat untuk memulakan siasatan ke atas dakwaan kesalahan diskriminasi yang dibangkitkan oleh Persatuan Bolasepak Palestin,” menurut FIFA dalam satu kenyataan.
Penyertaan kelab Israel dalam pertandingan bola sepak anjuran Israel yang didakwa berpangkalan di wilayah Palestin juga akan tertakluk kepada siasatan.
“Jawatankuasa Tadbir Urus, Audit dan Pematuhan FIFA akan diamanahkan dengan misi untuk menyiasat… penyertaan dalam pertandingan Israel oleh pasukan bola sepak Israel yang didakwa berpangkalan di wilayah Palestin,” kata badan induk itu.
“Kami mengalu-alukan keputusan Majlis FIFA untuk merujuk kes ini kepada badan kehakiman yang berwibawa,” kata PFA dalam satu kenyataan.
“(Kami melihat) ia sebagai langkah positif ke arah yang betul, berdasarkan prosedur dan langkah yang sesuai, ke arah menangani pelanggaran berat terhadap objektif perundangan FIFA, hak asasi manusia dan hak persatuan ahlinya.
“Kami yakin dengan kesahihan tuntutan kami dan mempercayai proses kehakiman untuk menyampaikan resolusi yang adil dalam jangka masa yang ditetapkan.”
Sekumpulan pakar hak asasi manusia yang dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, sekurang-kurangnya lapan kelab bola sepak dikenal pasti beraksi di penempatan penjajah Israel di Tebing Barat yang diduduki. – REUTERS