sukan

Kami tak gentar berdepan JDT – Rankovic

ISKANDAR PUTERI — Ketika ramai menjangkakan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mendominasi aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) bagi merebut Piala Shopee, pengendali Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic, tampil dengan keyakinan tinggi bahawa kelab kendaliannya mampu mencipta kejutan di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Walaupun rekod pertemuan sebelum ini jelas memihak kepada Harimau Selatan — dengan kemenangan bergaya 4-0 pada April dan 1-0 pada November tahun lalu dalam aksi persahabatan — Rankovic menegaskan bahawa perlawanan kali ini adalah medan yang berbeza, dengan intensiti dan tekanan yang jauh lebih tinggi.

“Tewas dalam aksi persahabatan tidak memberi sebarang makna kerana ia membabitkan skuad yang berbeza dan tekanan perlawanan juga tak sama. Kami janji aksi yang lebih mantap pada pertemuan esok,” ujar Rankovic penuh tekad.

Lion City Sailors, yang muncul naib juara Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) musim lalu, kini bertekad untuk memperbaiki prestasi hambar mereka dalam edisi ACC sebelumnya, di mana mereka terkandas di peringkat kumpulan.

“Musim lalu kami gagal mara ke peringkat seterusnya. Kali ini, kami mahu permulaan yang lebih baik walaupun dua perlawanan awal berlangsung di tempat lawan. Itu bukan alasan untuk kami tidak beraksi dengan kekuatan penuh,” katanya.

Rankovic mengakui jadual awal yang tidak memihak — dua aksi pertama di gelanggang lawan dan hanya dua perlawanan di laman sendiri — menuntut anak buahnya untuk tampil lebih agresif dan berdisiplin sejak wisel pertama.

Dalam sidang media pra-perlawanan, pengendali kelahiran Serbia itu turut mengesahkan bahawa dua tonggak utama pasukannya, Hariss Harun dan Bailey Wright, masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kemungkinan besar tidak akan diturunkan.

Ketiadaan dua pemain berpengalaman itu dijangka memberi kesan kepada struktur pertahanan dan kepimpinan di atas padang, namun Rankovic tetap optimis bahawa barisan pemain yang ada mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

Tanpa mendedahkan nama, Rankovic menyatakan bahawa beliau telah mengenal pasti beberapa pemain utama JDT yang perlu diberi perhatian khusus. Beliau menekankan bahawa kekuatan JDT bukan sahaja terletak pada individu, tetapi pada sistem permainan yang konsisten dan efektif.

“JDT bukanlah pasukan biasa. Mereka memiliki rekod cemerlang di gelanggang sendiri dan sering menang besar. Ini bukan perkara baharu. Kami perlu mencuri mata di tempat lawan jika mahu melangkah jauh dalam kejohanan ini,” katanya.

Pasukan kendalian Xisco Munoz kini berada dalam prestasi terbaik selepas memenangi tiga perlawanan awal Liga Malaysia (Liga M), sekali gus memperkukuh reputasi mereka sebagai kelab paling dominan di rantau ini.

Dengan barisan pemain bertaraf antarabangsa dan sokongan padu daripada penyokong setia di Stadium Sultan Ibrahim, JDT dijangka akan tampil dengan intensiti tinggi untuk memastikan kemenangan pembukaan dalam kempen ACC.

Pertemuan antara JDT dan Lion City Sailors bukan sekadar aksi pembukaan, tetapi menjadi penanda aras kepada kekuatan kelab ASEAN dalam pentas serantau. Bagi Rankovic dan anak buahnya, perlawanan ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pelengkap jadual, tetapi pencabar yang serius.