sukan

Kang Khai Xing-Aaron Tai gagal mengakhiri kemarau kejuaraan selama tujuh tahun

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Kang Khai Xing-Aaron Tai gagal mengakhiri kemarau kejuaraan selama tujuh tahun Malaysia di Kejohanan Badminton Remaja Asia apabila tewas kepada pasangan China Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.

Meskipun berada di kedudukan nombor satu dunia dalam kategori remaja, Khai Xing-Aaron dikejutkan pasangan pilihan kelima itu, 13-21, 11-21 dalam masa 33 minit pada perlawanan akhir di Dewan Sukan Among Rogo di Yogyakarta, Indonesia.

Ini adalah kekalahan pertama mereka dalam tiga pertemuan menentang Ke Yuan-Xiang Yi.

Pada aksi separuh akhir semalam, Khai Xing-Aaron menewaskan Hung Ming Chen-Cheng Han Tsai dari Taiwan manakala gandingan China berkenaan menewaskan rakan senegara mereka Chen Jun Ting-Liu Jun Rong.

Khai Xing-Aaron merupakan wakil tunggal negara di final, manakala pemain perseorangan wanita Siti Zulaikha Muhammad Azmi dan beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting pulang dengan pingat gangsa selain gangsa bagi acara berpasukan campuran.

Berada di ranking ke-83 dunia, Khai Xing-Aaron yang merangkul kejuaraan Kejohanan Antarabangsa Remaja Belanda dan Cabaran Antarabangsa Remaja Thailand tahun ini adalah gandingan pertama negara mara ke peringkat akhir sejak penampilan Yew Hong Kheng-Ow Yao Han pada 2010.

sumber:-Astro Awani
Pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao menjadi pemain Malaysia terakhir merangkul kejuaraan remaja Asia pada 2017 manakala pasangan beregu lelaki terakhir muncul juara ialah Mak Hee Chun-Teo Kok Siang pada 2008.– BERNAMA