SHAH ALAM: Pengurusan Selangor FC (SFC) akan terus menyediakan khidmat kawalan keselamatan kepada Faisal Halim walaupun selepas pemain sayap itu dibenarkan keluar hospital.
Perkara itu bagi menjamin keselamatan Faisal yang mungkin masih trauma susulan insiden malang menjadi mangsa simbahan asid, 5 Mei lalu.
Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjelaskan selepas keadaan Faisal benar-benar berada dalam keadaan baik pihaknya akan berbincang dengan ahli keluarga pemain berusia 26 tahun itu.
“Sekarang masih ada kawalan keselamatan di rumah dan hospital. Kami masih akan sediakan khidmat keselamatan sehingga Faisal sendiri berasakan dia sudah tenang dan OK. Selepas itu kami akan bincang dengan keluarga dia,” katanya.
Faisal yang juga pemain kebangsaan, masih menjalani rawatan termasuk empat pembedahan dengan dia dipantau oleh doktor pakar sebelum dibenarkan keluar dari hospital.
Dia yang lebih dikenali sebagai Mickey bagaimanapun dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan untuk pulih sebelum kembali beraksi di tengah padang.
Selain itu, Shahril menjelaskan Faisal akan menjalani program pemulihan yang dirangka pasukan perubatan SFC dalam memulihkan keadaan fizikal dan psikologinya.
sumber:-BH
Katanya, program pemulihan itu akan membabitkan kerjasama pasukan perubatan SFC dan Institut Sukan Negara dalam usaha memastikan Faisal pulih dan boleh kembali beraksi.