ALOR SETAR : Kedah Darul Aman (KDA) FC mara separuh akhir Piala FA dengan agregat 1-0 selepas seri tanpa jaringan menentang Penang FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman di sini, sebentar tadi.
-ADVERTISEMENT-
Skuad bimbingan Nafuzi Zain sebelum ini melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC menerusi jaringan Hasbullah Abu Bakar pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bandaraya, 28 Jun lalu.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama KDA FC melangkah ke separuh akhir Piala FA sejak kali terakhir pada 2019 yang turut menyaksikan pasukan itu muncul juara.
Pada aksi di Stadium Darul Aman, Penang FC berpeluang untuk berada di depan menerusi serangan pantas Rodrigo Dias tetapi berjaya dipatahkan pemain pertahanan KDA FC, Irfan Zakaria pada minit kelapan.
Empat minit kemudian, giliran KDA FC mengasak namun percubaan kapten pasukan Sony Norde berjaya diselamatkan penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Penang FC sekali lagi berpeluang untuk membuka tirai jaringan tetapi tandukan Neto Oliveira pada minit ke-17 dinafikan palang gol Kedah.
Kedua-dua pasukan selepas itu saling berbalas serangan namun gagal menemui penyudah yang menyaksikan keputusan kekal 0-0 sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Bermula babak kedua, Kedah menggandakan asakan bagi memburu gol pertama pertama dengan peluang terbaik hadir pada minit ke-49 tetapi tandukan Syafiq Ahmad mudah dibaca Sikh Izhan.
Penang FC menerusi Nabil Latpi pula terlepas peluang pada minit ke-59 selepas gerakannya digagalkan pemain pertahanan Kedah Irfan Zakaria dan ini disusuli tandukan Richmond Ankrah pada minit ke-72 juga gagal menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.
Kedah bagaimanapun hampir mendapat peluang gol selang dua minit kemudian, apabila sepakan ke gol sendiri oleh pemain Penang FC, Richmond Ankrah hampir memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah tetapi berjaya ditepis keluar oleh Sikh Izhan.
sumber:-BH
Kedua-dua pasukan terus berusaha menjaringkan gol namun keputusan seri 0-0 kekal sehingga tamat permainan.