sukan

KDA FC makin ‘tenat’

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Interim Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag berharap pemainnya mampu meneruskan komitmen dan kesungguhan terbaik mereka untuk menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu ini.

Menurut bekas kapten skuad Hijau Kuning era ‘Double Treble’ ini, skuadnya kini hanya bergantung pada kekuatan mental setiap pemain tatkala Sang Kenari masih lagi dibelenggu isu kewangan pasukan yang belum selesai.

“Dengan keadaan yang masih dibelenggu dengan banyak perkara yang belum selesai hingga kini, ia makin merumitkan persiapan kami dan itulah yang saya risaukan dan saya harap perkara itu dapat diselesaikan kerana kami kini masih melalui fasa yang mencabar.

“Walaupun tempoh rehat untuk melakukan persiapan dilihat panjang dari 1 Februari hingga 26 Februari, tetapi tidak dinafikan kami berdepan halangan untuk mengadakan latihan setiap hari disebabkan faktor kewangan, dan dari sudut masalah itu ia memberi kesan untuk mengadakan tempoh latihan yang lebih panjang.

“Kami akan cuba dengan sebaik mungkin dengan pemain yang kami ada. Saya harap pemain dapat meneruskan karakter mereka seperti yang sudah mereka buktikan dalam perlawanan-perlawanan lalu,” katanya sebaik tamat latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, semalam.

Victor juga berkata, beliau bagaimanapun tetap bersyukur kerana di sebalik cabaran isu dalaman yang dihadapi setakat ini, semua pemainnya masih mampu memberi komitmen yang baik sepanjang latihan yang dikendalikannya.

“Kita tahu mereka (NSFC) memilki kekuatan dari segi pemain import mereka dan kita perlu kekalkan karektor terbaik untuk memastikan kami bersedia menghadapi mereka.

sumber:-BH

“Jika ketika aksi menentang PDRM FC, kami mampu memberi saingan yang diharapkan, saya menyeru kali ini agar setiap pemain yang dipilih nanti supaya dapat kekalkan karakter sebegitu jika mahukan kemenangan,” katanya.