ALOR SETAR: Skuad Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) enggan meletakkan kekalahan berterusan dalam aksi Liga Super sebagai penghalang untuk terus berjuang memperbaiki nasib pasukan yang kini berada di dasar liga.
Kekalahan 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA FC) di Stadium Darul Aman semalam yang juga kekalahan keempat berturut-turut buat skuad Kijang Emas dalam kancah Liga Super perlu diteliti dengan lebih serius dalam usaha memperbaiki setiap aspek kelemahan dengan kadar segera.
Penolong Ketua Jurulatih KDN FC Rezal Zambery Yahya berkata, beliau melihat usaha yang dilakukan anak buahnya hampir membuahkan hasil kutipan mata namun tersekat disebabkan satu kesilapan yang meranapkan impian pasukan.
“Saya tetap memuji aksi semangat juang dipamerkan semua pemain saya. Jika kita melihat kepada keseluruhan perlawanan, kami hampir mendapatkan satu mata, cuma kami ada satu kesilapan dan daripada kesilapan itu kami dihukum dengan satu jaringan gol oleh KDA FC pada separuh masa pertama.
“Dalam situasi semasa, saya yakin pemain boleh pamerkan aksi yang lebih baik daripada perlawanan ini kerana kini kami sudah menggunakan semua pemain tempatan. Tanpa pemain import, kekosongan dan kriteria itu dapat dipenuhi dengan serasi dan inilah yang perlu diteruskan.
“Dengan semangat dipamerkan pada aksi ini, saya rasa jika segala masalah ini dapat diselesaikan, Insya-Allah keadaan akan jadi lebih baik lagi dalam baki perlawanan nanti,” katanya selepas perlawanan semalam.
“Apa yang penting mereka perlu menunjukkan prestasi terbaik mereka supaya orang lain akan boleh menilai dengan apa yang mereka tunjukkan.
sumber:-BH
KDN FC dijadual bertemu Perak pada 26 Januari ini dan bagi Rezal, skuad kendaliannya masih mempunyai masa untuk melakukan penambahbaikan.