KUALA LUMPUR: Persiapan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mengharungi saingan Liga Super sedikit terencat apabila difahamkan pasukan itu kini dalam perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Ia selepas KDN FC diletakkan dalam senarai sekatan pendaftaran pemain baharu oleh FIFA yang menyaksikan terdapat dua aduan dibuat pemain bekas pemain import kelab dari Pantai Timur itu.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, ini bermakna skuad The Real Warrior itu tidak dibenarkan mendaftar mana-mana pemain baharu sama ada tonggak tempatan mahupun import, ketika saingan Liga Super hanya berbaki sebulan sebelum tirai liga domestik di buka pertengahan Ogos depan.
Untuk mengeluarkan nama KDN FC dalam senarai sekatan itu, kelab terbabit perlu menyelesaikan tunggakan yang ada khususnya kepada dua bekas pemain import pasukan itu.
Sekiranya gagal, KDN FC terpaksa menggunakan khidmat pemain yang masih memiliki kontrak dan berisiko berdepan masalah kekurangan pemain yang mencukupi.
Situasi berkenaan sama seperti pernah dilalui Kelantan FC milik Norizam Tukiman yang dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh FIFA, dan akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga M ekoran ketiadaan pemain mencukupi untuk disenaraikan.
Arena Metro cuba menghubungi pengurusan tertinggi KDN FC bagi mendapatkan penjelasan berhubung sekatan FIFA itu, namun panggilan tidak berjawab.
Sementara itu, bekas pemain KDN FC musim lalu mengesahkan ada menerima surat jemputan untuk bertemu pihak pengurusan.
Menurut sumber, setiap anggota pemain dan pegawai musim lalu diberi tarikh perjumpaan yang berbeza-beza bermula semalam hingga Ahad ini.
“Semua pemain dam jurulatih ada terima surat jemputan. Mereka nak jumpa untuk berunding mengenai tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan.
“Kami tetap dengan pendirian tidak akan terima ansuran bulanan RM200 kerana ia tidak memadai dan agak melampau. Kami akan desak untuk pihak pengurusan bayar segera.
“Saya boleh katakan, semua pemain dan jurulatih sudah membuat aduan atau laporan rasmi kepada PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) dan PJBM (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia). Manakala pemain import buat laporan kepada FIFA.
sumber: HM
“Mungkin sekatan FIFA datang dari aduan pemain import, sebab mereka memang kalau buat aduan perlu terus kepada FIFA. Macam kita pemain tempatan, perlu melalui saluran dalaman menerusi PFAM dan PJBM yang akan memanjangkan isu kepada FAM dahulu,” kata sumber.