sukan

KDN nafi lepas tangan, isu visa

KUALA LUMPUR: Kelantan Darul Naim (KDN) FC menegaskan pihaknya sentiasa komited dan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kelulusan visa dan permit pemain import dapat diperoleh seberapa segera sebagaimana amalan biasa yang dilakukan mereka.

Presiden KDN FC, Rozi Mohamad dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya tidak pernah melepaskan tanggungjawab dan sedang menyelesaikan isu ini dan ia sudah memasuki peringkat terakhir untuk disiapkan.

Bagaimanapun, Rozi memaklumkan isu kelewatan dalam menyelesaikan prosedur ini disebabkan oleh beberapa isu teknikal yang tidak dapat dielakkan dan terpaksa dihadapi oleh pihak kelab.

“Bagi peringkat akhir prosedur kelulusan visa, pihak kelab sudah menyelesaikan perkara-perkara berkaitan sama ada berkait dokumentasi dan sebarang pembayaran kepada pihak berkuasa dan kini hanya menunggu kelulusan rasmi dan seterusnya pengeluaran visa rasmi dapat dilakukan.

“Terdapat sedikit kekeliruan daripada pihak ejen pemain mengenai proses dan masalah teknikal yang dihadapi kelab. Bagaimanapun pihak kelab dapat mengatasi perkara berbangkit ini hasil komunikasi yang baik bersama ejen pemain import terbabit.

“Pihak kelab tidak pernah lepas tangan serta mengabaikan isu ini dan sudah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menyelesaikan masalah dengan sebaik mungkin,” kata Rozi.

Dalam perkembangan sama, KDN FC juga mengambil langkah yang lebih efektif dengan mengadakan kunjungan hormat ke Imigresen Negeri Kelantan bagi mendapatkan maklum balas mengenai permohonan visa pemain import mereka.

“Hasil kerjasama yang baik antara pihak Imigresen dan pihak kelab, saya sudah dimaklumkan bahawa permohonan visa pemain import kini berada di peringkat akhir untuk diluluskan.

“Kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Imigresen atas segala kerjasama baik yang diberikan kepada pihak kelab.

“Saya tegaskan kami di pihak pengurusan dan seluruh kakitangan kelab sentiasa peka dengan isu-isu yang berbangkit serta berusaha menyelesaikannya dengan berlandaskan etika pengurusan yang profesional,” katanya.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan Jeong mendakwa jurulatih dan pemainnya terpaksa tinggal secara haram di negara ini selepas tidak mendapat visa daripada KDN FC.

Menerusi kemaskini di Instagram Story, Jeong menyatakan jurulatih dan pemain itu tidak boleh pergi ke mana-mana dan tidak boleh menaiki pesawat untuk menyertai perlawanan di tempat lawan dan lebih malang, pemain dari Myanmar turut terpalit masalah sama.

sumber:- BH

Malah, lebih memburukkan keadaan adalah pasukan terbabit tidak membayar gaji selama tiga bulan termasuklah sewa rumah dan juga bayaran kereta yang tidak dilunaskan.