BEIJING: Pemenang pingat emas beregu campuran di Sukan Olimpik Paris 2024, Huang Yaqiong mengumumkan persaraannya dari pasukan kebangsaan China susulan kecederaan yang semakin bertambah.
Atlet berusia 30 tahun yang bergandingan bersama Zheng Siwei itu menewaskan beregu Korea Selatan, Kim Won-ho-Jeong Na-eun 21-8, 21-11 untuk meraih emas di temasya berkenaan pada Ogos lalu.
Huang yang meraih perak di Tokyo 2020 bersama Zheng, turut pernah merakamkan detik manis apabila bertunang dengan rakan senegara Liu Yuchen, beberapa minit selepas meraih kejayaan di Paris.
“Saya ingin mengumumkan yang saya sudah memutuskan untuk keluar dari pasukan kebangsaan… ketika saya dalam persiapan menghadapi Olimpik Paris 2024, saya menganggapnya sebagai Olimpik terakhir saya,” kata Huang dalam hantarannya di Instagram.
“Saya pernah berkata, sekiranya saya terus bersaing di kejohanan antarabangsa, saya perlu melakukan yang terbaik untuk berjuang mencapai kejayaan.
“Begitupun, saya mengalami banyak kecederaan dan usia pun semakin tua, saya tidak mempunyai cukup keyakinan untuk mempertahankan keupayaan untuk mencapai kejayaan bagi negara saya.”
Huang pernah muncul juara dunia dalam acara beregu campuran sebanyak tiga kali, memenangi emas di Nanjing 2018, Basel 2019 dan Tokyo 2022.
“Saya menantikan kehidupan yang baharu dan paling penting, saya akan masih menyumbang dalam arena badminton… ini adalah masa untuk mengucapkan selamat tinggal dan kita akan bertemu lagi di masa akan datang,” katanya. – REUTERS