sukan

Kecergasan dan kelajuan permainan Zii Jia jelas merudum – bekas pemain kebangsaan

KUALA LUMPUR: “Dia bukan berada dalam rentak permainan yang betul, malah cara dia bermain nampak agak longlai.”

Itu penilaian bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj terhadap persembahan Lee Zii Jia yang mengecewakan apabila tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, semalam.

James menegaskan tahap kecergasan dan kelajuan permainan Zii Jia jelas merudum serta jauh daripada standard sebenar yang pernah dipamerkannya di pentas antarabangsa sebelum ini.

“Kecergasan dia menurun, kepantasan pun sudah berkurangan. Jadi, selepas lima bulan dia berehat, saya sendiri tidak tahu jenis latihan apa yang dia lakukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut James lagi, jika Zii Jia benar-benar serius mahu kembali bersaing di peringkat tertinggi, dia perlu menggandakan usaha di gelanggang latihan.

“Dia mesti menggandakan program latihannya, meningkatkan kecergasan dan memperbaiki kelajuan permainan. Semua aspek perlu ditingkatkan semula termasuk semangatnya sendiri,” ujarnya.

James menambah, dalam situasi semasa, tidak ada jalan pintas untuk kembali kompetitif kerana semua pemain lain turut berlatih keras demi mengejar kejuaraan.

“Kalau dia mahu bangkit, kerja keras adalah satu-satunya cara. Semua pemain di dunia berusaha untuk menjadi juara, jadi dia pun perlu berlatih lebih kuat,” katanya.

Sementara itu, hasrat Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-52 dunia untuk melakar impak di Paris berkecai selepas dia tewas kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin (38 dunia).

Dalam aksi yang berlangsung selama 41 minit itu, Zii Jia tunduk dengan keputusan straight set 17-21, 11-21 sekali gus menjadikan ia penampilan terburuk dalam lima penyertaannya di Kejohanan Dunia selepas mara ke suku akhir pada 2019 dan 2021 serta ke pusingan 16 terbaik pada 2022 dan 2023.

Kejohanan Dunia kali ini menjadi pentas pertama buat pemain berusia 27 tahun itu selepas bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialami ketika Jelajah Dunia Akhir, Disember tahun lalu.

Dia sempat kembali beraksi di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac, namun kecederaan sama kembali menghantuinya sehingga memaksa menarik diri daripada tiga kejohanan iaitu Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China antara Jun hingga Julai.

Bagaimanapun, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menawarkan slot ke Paris menerusi perlindungan ranking di kedudukan kesembilan dunia, sekali gus membuka peluang Zii Jia beraksi namun akhirnya gagal dimanfaatkan.