sukan

Kedah FA sah sambar Victor Andrag

ALOR SETAR: Kedah FA mengumumkan Victor Andrag sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Semi Pro A1 musim 2025/2026.

Pelantikan berkenaan diumumkan menerusi platform media rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), hari ini.

“Kedah FA dengan ini mengumumkan Victor Andrag sebagai Ketua Jurulatih bagi musim 2025-2026 untuk Pertandingan Liga A1 Semi-Pro. Pulun Kedah Pulun!,” katanya.

Victor, 49, bukan nama asing dalam bola sepak tempatan, khususnya di Kedah.

Dia antara pemain penting skuad ‘Double Treble’ Kedah pada 2007 dan 2008 dan pernah diberi gelaran Kapten Marvel oleh penyokong Hijau Kuning.

Dari sudut kejurulatihan, dia memulakan tugas sebagai jurulatih skuad Piala Presiden Kedah dari 2014 hingga 2019 sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih sementara KDA FC menggantikan Aidil Sharin Sahak bagi baki saingan Liga Malaysia pada Oktober 2022.

Victor sekali lagi dipanggil menyelamatkan situasi pasukan apabila dilantik sebagai jurulatih sementara menggantikan Nafuzi Zain pada November 2024 lalu.

sumber:- BH

Pengalaman luas yang dimiliki Victor dijangka menjadi aset penting kepada Kedah FA, terutamanya dalam mempersiapkan barisan muda menghadapi Liga Semi Pro A1 2025/2026.