sukan

Kedah tagih sokongan padu penyokong

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menagih kehadiran penyokongnya di Stadium Darul Aman pada aksi Liga Super yang kembali bersambung menentang Terengganu FC (TFC) pada Sabtu ini dalam usaha memperbaiki kedudukan kewangan semasanya.

Menerusi kenyataan media Sang Kenari semalam, pihak pengurusan menyasarkan 10,000 penyokong untuk hadir ke Stadium Darul Aman bagi menghidupkan semangat perlawanan serta membantu pasukan meningkatkan lagi pendapatan kewangan pada ketika ini.

“Buat Sang Kenari, setiap perlawanan bukan hanya berkisar mengenai prestasi sahaja namun kita mahukan kehadiran penyokong yang lebih ramai dalam usaha menyuntik aliran tunai segera buat pasukan.

“Ketika ini, kedua-dua pasukan bertungkus lumus untuk kembali ke landasan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan seterusnya mendapat kelebihan dalam undian Piala Malaysia nanti.

“Jumlah kehadiran penyokong yang tinggi adalah salah satu cara untuk membantu kelab dalam meningkatkan kantung pasukan yang sangat diharapkan pihak pengurusan Sang Kenari,” kata kenyataan berkenaan.

Aksi menentang TFC antara tumpuan perlawanan liga di Stadium Darul Aman kerana menerusi rekod penjualan tiket sepanjang musim lalu, aksi menentang skuad Penyu berjaya mencatatkan penjualan tiket tertinggi iaitu sebanyak 20,933.

Sementara itu Ketua Jurulatih KDA FC Nafuzi Zain berkata, beliau mengharapkan sokongan padu daripada penyokong untuk hadir ke Stadium Darul Aman selepas kali terakhir skuad Sang Kenari beraksi menentang skuad Sri Pahang pada 20 September lalu.

sumber:-BH

“Aksi menentang TFC menjadi tempoh hampir sebulan untuk Kedah kembali ke aksi perlawanan liga selepas kali terakhir Sang Kenari mengikat Sri Pahang FC dengan keputusan 2-2 dan susah pasti perlawanan menentang TFC ialah aksi dinantikan semua pemain dan juga penyokong,” katanya.