KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menyambut kehadiran bekas pengendali skuad kebangsaan Malaysia, Kim Pan Gon di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.
Pan Gon yang kini membimbing kelab Korea Selatan, Ulsan HD FC akan kembali ke Malaysia bagi aksi menentang skuad kendalian Hector Bidoglio dalam perlawanan keempat Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Ulsan yang pernah dua kali menjulang trofi ACL pada 2012 dan 2020 bagaimanapun akan berkunjung ke ‘kandang’ Harimau Selatan dengan situasi kurang baik apabila berada di kedudukan tercorot ACLE Zon Timur tanpa sebarang mata.
Berdepan JDT, ia menjadi perlawanan pertama Ulsan dalam ACLE menentang pasukan dari negara lain selepas tiga aksi awal mereka sebelum ini semuanya berdepan kelab dari Jepun.
Anak buah Pan Gon tewas semua tiga aksi itu termasuk tunduk 0-1 kepada Kawasaki Frontale sebelum kecundang 0-4 di tangan Yokohama F Marinos dan yang terbaharu kalah 0-2 kepada Vissel Kobe di gelanggang sendiri, Rabu lalu.
Memetik laporan dari laman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Pan Gon menganggap kekalahan kepada Vissel Kobe sebagai memalukan dan beliau memohon maaf kepada seluruh peminat Ulsan.
“Saya amat memohon maaf kepada peminat Ulsan atas keputusan ini. Kami akan berusaha untuk bangkit daripada kekecewaan ini dengan cepat,” kata Pan Gon.
“Mungkin kami menunjukkan sikap terlalu hormat kepada pasukan Jepun, atau mungkin tidak cukup. Walau apa pun, kekurangan persediaan kami menyebabkan kesilapan berterusan.”
JDT yang mengumpul empat mata selepas seri 2-2 dengan Shanghai Port FC dan mengatasi Shanghai Shenhua FC 3-0 bagaimanapun jatuh ke tangga kelima selepas tewas 1-3 kepada pendahulu dari Korea Selatan, Gwangju FC, Selasa lalu.
Status Pan Gon selaku bekas pengendali Harimau Malaya mencetuskan elemen menarik pertembungan antara JDT dan Ulsan dengan peminat Harimau Selatan dijangka bakal membanjiri Stadium Sultan Ibrahim.
JDT menerusi laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers mengumumkan tiket bagi perlawanan itu sudah mula dijual secara online bermula semalam.
sumber:-BH
“Setiap penyokong hanya boleh membeli empat tiket sahaja manakala pemegang pas bermusim hanya perlu menunjukkan pas anda di pintu masuk untuk kemasukan ke stadium. Tiket diperlukan untuk penyokong yang berusia tiga tahun ke atas,” kata JDT.