KUALA LUMPUR: Kegagalan skuad perseorangan remaja negara menempah tempat ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 di Solo, Indonesia bukanlah satu keputusan mengejutkan, sebaliknya sudah dijangka berdasarkan kemampuan semasa barisan pemain negara.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen, mengakui beliau mengharapkan pencapaian yang lebih baik, namun realiti di gelanggang menunjukkan sebaliknya.
“Saya sebenarnya memiliki cita-cita lebih tinggi untuk pemain di kejohanan ini. Tapi saya tahu di mana tahap kita dan siapa lawan yang bakal ditemui,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
“Ada sedikit kekecewaan terhadap beberapa pemain kerana saya menjangkakan mereka mampu beraksi lebih baik, tetapi keputusan ini bukan sesuatu yang mengejutkan,” katanya.
Pada kejohanan yang melabuhkan tirai Ahad lalu, tiada seorang pun wakil perseorangan lelaki mahupun wanita negara berjaya melangkah ke pusingan suku akhir, satu kemerosotan ketara berbanding edisi tahun lalu yang menyaksikan Malaysia membawa pulang satu pingat perak dan tiga gangsa.
Mengulas lanjut, Jonassen menjelaskan pasukan kejurulatihan akan segera melakukan penilaian menyeluruh terhadap kelemahan yang dikenal pasti untuk diperbaiki menjelang kejohanan-kejohanan akan datang.
“Kami akan melihat aspek yang perlu diperbaiki sama ada dari segi fizikal, taktikal mahupun ketahanan mental.
sumber:- HM
“Kami sedar tahap persaingan semakin tinggi, jadi pemain perlu bersedia secara menyeluruh,” katanya.