sukan

Kehadiran Anuar beri impak yang positif kepada skuad Hobin Jang Hobin

Meskipun baharu sahaja diturunkan dalam dua perlawanan, persembahan dipamerkan penyerang baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Anuar Ceesay, mendapat pujian ketua jurulatih, Nidzam Jamil.

Pengendali berusia 46 tahun itu menyifatkan Anuar menunjukkan kemampuan yang memberangsangkan terutama dalam membantu bahagian serangan pasukan itu ketika diturunkan pada perlawanan menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super dan bertemu Imigresen FC bagi saingan pusingan 16 Piala Malaysia.

Menurutnya, walaupun diturunkan sebagai pemain gantian pada waktu yang singkat penghujung permainan, namun pemain kacukan Malaysia-England-Gambia itu memberi impak yang positif kepada jentera skuad Hobin Jang Hobin.

“Anuar masih dalam proses menyesuaikan diri selepas berhijrah dari Liga Semi-Pro A1 dan pemain itu ketika ini sedang cuba mengejar rentak permainan dalam saingan Liga Super.

“Pemain berkenaan tahu Liga Super jauh lebih kompetitif namun saya percaya sekiranya Anuar kekal fokus dan terus komited kepada tugas dan tanggungjawabnya, dia boleh menjadi pemain yang sangat baik.

“Setakat dua perlawanan yang diturunkan, dia dilihat berusaha memberikan aksi terbaik dan cuba menampilkan potensinya yang sebenar,” kata Nidzam.

Anuar yang dilahirkan di Cardiff, Wales dibawa masuk ke dalam pasukan itu pada sesi perpindahan kedua pemain bermula 5 Januari lalu dan dibuat susulan kehilangan khidmat Alex Agyarkwa yang dipanggil semula oleh Selangor FC.