KUALA LUMPUR: Sokongan padu penyokong Malaysia di Sydney Olympic Park menjadi ‘kekuatan’ beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk melakar kejayaan membanggakan menjuarai gelaran Terbuka Australia, hari ini.
Gelaran juara pada kejohanan berstatus Super 500 BWF itu jelas cukup bermakna buat pasangan juara dunia itu sekali gus menamatkan penantian mereka bagi meraih gelaran Jelajah Dunia BWF pada tahun ini.
Tiba di Australia selaku pilihan utama kejohanan, gandingan nombor empat dunia itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dengan kemenangan straight set 21-16, 21-11 dalam tempoh 42 minit.
Kejayaan ini cukup bermakna memandangkan Terbuka Australia adalah kejohanan elit terakhir dalam kalendar Jelajah Dunia BWF pada musim ini.
Tang Jie berkata, strategi yang dirancang lebih menjadi kunci kejayaan menewaskan lawan yang sudah ditemui sebanyak empat kali itu.
“Hari ini persekitaran di sini, dengan sorakan penyokong, ia membuatkan kami lebih teruja untuk beraksi di final,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Nada sama turut disuarakan Ee Wei yang menyifatkan kehadiran penyokong negara di Sydney sebagai pembakar semangat buat mereka.
“Kami melihat Jalur Gemilang dalam kalangan penonton, jadi kami sangat gembira mereka datang menyokong, bersama-sama peminat di tanah air yang sentiasa di belakang kami. Kemenangan hari ini pastinya hadiah buat mereka,” kata Ee Wei.
Gelaran di Australia dianggap tepat pada masanya dengan Tang Jie-Ee Wei adalah antara sandaran utama negara untuk memburu pingat di Sukan SEA Thailand yang akan berlangsung di Bangkok, Disember ini.
Selepas selesai tugasan di Sukan SEA, fokus Tang Jie-Ee Wei seterusnya akan terarah kepada saingan berprestij, Kejohanan Jelajah Dunia Final BWF yang dijadualkan berlangsung di Hangzhou, China.