Hasrat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggunakan teknologi bagi mengurangkan kontroversi keputusan pengadil sebaliknya mengundang lebih banyak pertikaian pada Piala Dunia 2026 apabila campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR) semakin meluas dan dikritik kerana penggunaannya yang tidak konsisten.
Teknologi itu menjadi punca beberapa kontroversi terbesar sepanjang kejohanan, termasuk kad merah penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun yang turut mendapat perhatian Presiden Donald Trump, selain mencetuskan dakwaan VAR digunakan secara berlebihan dan memihak kepada pasukan tertentu.
Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan antara yang lantang mengkritik teknologi itu selepas satu jaringan pasukannya dibatalkan VAR kerana kekasaran yang berlaku lebih awal, selain tuntutan penalti tidak diperiksa sebelum mereka tewas 2-3 kepada Argentina pada pusingan 16 terbaik.
“Apa yang berlaku tidak adil,” katanya.
Bagaimanapun, Ketua Pengadil FIFA, Pierluigi Collina mempertahankan penggunaan VAR dengan menegaskan tiada had ditetapkan dari segi jarak atau tempoh masa antara sesuatu insiden dengan jaringan.
“Kami percaya kekasaran tetap satu kekasaran. Jika pengadil tidak melihatnya di atas padang, VAR boleh campur tangan,” katanya.
Sebanyak 20 campur tangan VAR direkodkan dalam 64 perlawanan Piala Dunia 2018 dan kurang 30 pada edisi 2022 di Qatar, namun angka itu sudah diatasi pada peringkat awal kejohanan 2026 selepas FIFA memperluaskan skop penggunaan teknologi berkenaan.
Kontroversi turut tercetus ketika Portugal menewaskan Croatia 2-1 pada pusingan 32 terbaik apabila jaringan penyamaan Josko Gvardiol dibatalkan selepas sensor di dalam bola mengesan sentuhan kecil yang menyebabkan kedudukan ofsaid, meskipun sentuhan itu hampir tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Kapten Croatia, Luka Modric menyifatkan teknologi itu digunakan secara tidak konsisten dan menegaskan VAR hanya sepatutnya campur tangan apabila berlaku kesilapan yang benar-benar jelas, manakala Persekutuan Bola Sepak Croatia (HNS) meminta penjelasan FIFA sambil menyifatkan keputusan itu sebagai “penyalahgunaan teknologi.
“Data turut menunjukkan jumlah kad merah meningkat lebih tiga kali ganda berbanding dua edisi Piala Dunia sebelum ini apabila 13 pemain dibuang padang sehingga tamat pusingan 16 terbaik, termasuk Balogun dan pertahanan England, Jarell Quansah.
Pengurus England, Thomas Tuchel turut mempertikaikan mutu pengadilan dan campur tangan VAR selepas kemenangan 3-2 ke atas Mexico.
“VAR mengubah keputusan, tetapi adakah ia kesilapan yang jelas dan nyata untuk penalti itu? Sudah tentu tidak. Pengadil tidak cukup bagus, pegawai keempat juga tidak cukup bagus,” katanya.