sukan

Kehadirannya menyuntik semangat Gordic

ALOR SETAR: Penyerang utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Milos Gordic tidak mahu berputus asa di atas prestasi gol buat dirinya, malah bertekad meneruskan usahanya bagi mendapatkan gol pertama yang diidamkan dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Pemain berusia 31 tahun ini dari Serbia itu berkata, harapan tinggi disandarkan oleh penyokong Kedah dan juga keluarganya membuatkan beliau terus tabah dalam membuktikan kemampuannya untuk menghasilkan gol walaupun bergelut dengan hanya satu gol pada saingan Piala FA sejak awal musim ini.

“Di sebalik pelbagai dugaan dihadapi sebelum ini, saya tetap sabar dan bertekad mahu terus bekerja keras bagi memastikan saya dapat menyumbang aksi terbaik saya bersama KDA FC pada sambungan saingan Liga Super ini walaupun hanya menjaringkan satu gol pada aksi Piala FA.

“Perlawanan menentang pasukan Terengganu FC (TFC) pada 19 Oktober ini menjadi aksi penting buat saya dalam mencari gol pertama dalam saingan Liga Super selain perlu mengekalkan rekod kemenangan pasukan keatas TFC yang dicipta pada musim lalu di laman sendiri.’

“Meskipun pelbagai kritikan yang saya terima daripada penyokong mengenai jumlah gol, namun saya tidak ambil hati dan berazam mahu teruskan usaha dan bekerja keras bagi memastikan impian saya tercapai dalam membantu pasukan,” katanya sebaik tamat latihan di Stadium Sultan Abdul Halim semalam.

Gordic berkata, pada masa yang sama, beliau juga kini tidak sabar menantikan kelahiran anak pertamanya selepas isterinya yang sarat mengandung kini sudah dimasukkan ke hospital bersalin di Serbia.

sumber:-BH

“Saya berharap bulan Oktober ini akan menyuntik semangat baharu dan bermakna dalam kehidupan saya serta keluarga kerana isteri saya yang kini berada di Serbia dan bakal melahirkan anak pertama juga meniupkan kata-kata semangat juang buat saya dalam kerjaya,” katanya.