BEREGU badminton wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah, tampil garang apabila hanya mengambil masa 29 minit untuk menjinakkan pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti, 21-12, 21-11 bagi mengesahkan tempat ke suku akhir Kejohanan Dunia di Paris, Perancis.
Beraksi penuh keyakinan di Adidas Arena, gandingan pilihan kedua itu nyata berada dalam kelas tersendiri apabila langsung tidak memberi ruang kepada lawan yang menghuni ranking ke-14 dunia berkenaan.
Kemenangan itu turut memperbaiki rekod pertemuan kepada 3-1 sekali gus menyuntik motivasi buat Pearly-Thinaah yang kini memburu pingat pertama di Kejohanan Dunia.
“Kami puas hati dengan prestasi hari ini kerana segala yang dirancang bersama jurulatih menjadi.
“Tapi kami tahu cabaran lebih besar menanti dan masih banyak ruang untuk diperbaiki,” kata Thinaah.
Pearly pula menegaskan bahawa mereka tidak mahu dibebani dengan status pilihan mahupun jangkaan peminat, sebaliknya kekal fokus kepada setiap perlawanan.
“Kami hanya fokus kepada komunikasi di gelanggang dan menyokong satu sama lain. Itu saja yang penting buat masa ini,” katanya.
Pada masa sama Thinaah turut mengakui prestasi hari ini lebih baik berbanding aksi pertama namun mengingatkan sesama mereka agar tidak mengulangi kesilapan mudah.
“Kami mahu kekalkan momentum ini dan turun dengan lebih bersedia pada suku akhir nanti,” katanya.
Beregu negara itu bakal berdepan pasangan Bulgaria, Gabriela-Stefani Stoeva, yang sebelum ini menyingkirkan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam pertarungan tiga set, 21-18, 20-22, 20-22.
Gabriela-Stefani Stoeva sebelum itu menewaskan beregu wanita kedua negara, Go Pei Kee–Teoh Mei Xing 21- 11, 21-9 dalam pusingan kedua.