KUALA LUMPUR: Kekalahan 0-3 dilakar skuad Harimau Malaya kepada Cape Verde pada aksi berstatus perlawanan latihan semalam bukanlah satu ‘malapetaka’, sebaliknya memberi ‘rahmat’ kepada persiapan skuad negara menjelang aksi menentang Vietnam, 10 Jun ini.
Justeru, jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menegaskan penyokong tidak perlu panik dengan kekalahan itu kerana perlawanan latihan itu membantu skuad kejurulatihan mendapatkan gambaran lebih jelas dalam rangka persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027 di laman sendiri.
Jelasnya, keputusan itu pasti memberi kesempatan terbaik untuk barisan kejurulatihan diterajui Peter Cklamovksi meneliti kelemahan yang ada sekali gus dapat membentuk pasukan yang lebih baik dan merencana strategi lebih mantap.
“Kalau perlawanan latihan, ada pertukaran pemain tanpa had jadi jurulatih dapat mencuba beberapa barisan pemain dan memberi peluang kepada semua pemain merasai suasana perlawanan ini.
“Ia lebih untuk mendapatkan minit permainan dan cuba dapatkan keserasian dalam perlawanan berprofil tinggi seperti ini. Mereka boleh mengenalpasti beberapa kelemahan menerusi pertukaran dan kombinasi cuba diterapkan.
“Saya lihat juga perlawanan ini memberi gambaran kepada pemain baharu yang menyertai skuad pada kali ini dan mungkin kehadiran mereka dapat membantu menambah sengat selepas melihat apa yang berlaku dalam perlawanan.
“Ini adalah sebahagian persiapan pasukan untuk hadapi Vietnam. Mungkin juga keputusan perlawanan ini akan membuatkan Vietnam terlebih keyakinan untuk bertemu skuad Harimau Malaya nanti,” kata Sulaiman.
Pada aksi berstatus perlawanan latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Dailon Livramento muncul pemusnah apabila meledak dua gol buat Cape Verde pada minit ke-35 dan minit ke-48.
Heriberto Tavares menambah gol ketiga pada minit ke-55 untuk kemenangan tanpa balas 0-3 untuk negara Afrika Barat itu.
Terdahulu, persahabatan Tier 1 sebelum ini berdepan pasukan sama, skuad negara terikat 1-1 pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, minggu lalu.
sumber:- BH
Jaringan pemain gantian, Paulo Josue membantu skuad negara memadam jaringan awal Sidney Lopes Cabral pada pertemuan itu.